Sunday 21 August 2016

RETORIK: LATIHAN

Arahan: Berikan nama retorik dan ciri-ciri yang terdapat dalam petikan di bawah.

1. "Saya bersetuju dengan cadangan Encik Ghazali tadi kerana kita sebagai ibu bapa patut menyumbangkan tenaga secara bergotong-royong, membina dan menyiapkan tempat belajar sementara bagi menampung keperluan pelajar sekolah ini. Kita jangan asyik meminta bantuan daripada kerajaan sahaja."

- Retorik penghujahan.
- Ciri-ciri: Dilakukan dengan pemikiran yang jelas, waras dan logik. Dikemukakan dengan bukti, dalil dan alasan yang munasabah dan dapat diterima. Dilakukan untuk meyakinkan khalayak tentang kebenaran sesuatu.

2. Encik Ahmad seorang pelukis kartun terkenal. Beliau dijemput oleh kelab seni sebuah sekolah menengah di Kuala Lumpur untuk menunjukkan teknik melukis kartun.

- Retorik penceritaan.
- Ciri-ciri: Memberi penekanan kepada peristiwa susunan atau plot yang rapi dan teliti.

3. Wanita yang ditemui itu berseluar biru, memakai kemeja berlengan panjang, berambut pendek, berkulit cerah, bertahi lalat di bawah bibir, memakai kasut hitam bertumit tinggi, memakai kaca mata hitam dan beg tangan berjenama Christine de Or.

- Retorik pemerian.
- Ciri-ciri: Tepat, jelas dan objektif. Gambaran dilakukan secara realistik. Penyampaian dilakukan secara deskriptif dan informatif.

4. Pak Usof tidak puas hati dengan keputusan ahli jawatankuasa surau yang hendak memindahkan tapak surau itu ke tempat lain. Dengan geram Pak Usof menyuarakan bantahannya kepada Tuk Penghulu. "Tuk, apa salahnya tapak surau ini dikekalkan di sini? Sudah turun-temurun surau ini terpacak di sini. Letaknya di tengah-tengah kampung. Sebelah hilirnya ada sungai, di sebelah hulu pula ada jalan. Tapak baru itu apa yang ada?"

- Retorik pemujukan
- Ciri-ciri: Merayu atau memainkan perasaan.

5. Petroleum atau minyak batu-batan berasal daripada dua perkataan Latin, iaitu petra yang bermaksud batu atau batu-batan dan oleum yang bermaksud minyak. Petroleum wujud dengan banyak di dalam tanah, berbentuk cecair, gas, separuh pepejal atau pepejal. Dari segi kimianya, petroleum merupakan sejenis campuran yang amat kompleks.

- Retorik pendedahan
- Ciri-ciri: Menjelaskan sesuatu perkara secara berkesan. Bersifat objektif, tepat dan jelas. Tidak    mengandungi emosi dan pandangan peribadi.

6. Kuala Terenggan menjadi sebuah lagi destinasi pelancongan yang kian popular dalam kalangan pelancong yang mengunjungi Taman Negara, Pahang. Kuala Terenggan terletak di satu kawasan terpencil. Keadaan itu sedikit sebanyak menyukarkan para pengunjung untuk ke sana. Kedudukannya kira-kira 9.1km dari Kuala Tahan. Jika melalui Sungai Tembeling, jauhnya kira-kira 12.5km.

- Retorik pemerian
- Ciri-ciri: Tepat, jelas dan objektif. Gambaran dilakukan secara realistik. Penyampaian dilakukan secara deskriptif dan informatif.

7. Pengarang mengemukakan cadangan atau gagasan. Gagasan disokong oleh fakta, bukti, contoh dan data. Sekongan yang diberikan relevan dan rasional.
- Retorik pemerian.

- Ciri-ciri: Tepat, jelas dan objektif. Gambaran dilakukan secara realistik. Penyampaian dilakukan secara deskriptif dan informatif.

8. Banglo milik Sazali itu dibina dua tahun yang lalu di atas tanah seluas 8000 kaki persegi. Kawasan banglo dengan landskap ala Bali menjadikan pemandangan di sekitar banglo itu amat menarik. Ada pokok-pokok hijau di sekeliling banglo itu dan sebuah kolam ikan yang menimbulkan suasana yang aman damai.

- Retorik penceritaan
- Ciri-ciri: Memberi penekanan kepada peristiwa susunan atau plot yang rapi dan teliti.

9. Alat bantu digital peribadi (PDA) Sybo SJ20 yang bersaiz 2.54 x 7.36 cm ini boleh digunakan sebagai pengganti komputer buku. SJ20 menggunakan perisian Graffito keluaran Palmo. Alat ini boleh membaca dan mengedit fail-fail Excel. Sebelum ini, ciri-ciri demikian hanya terdapat pada komputer peribadi.

- Retorik pemerian
- Ciri-ciri: Tepat, jelas dan objektif. Gambaran dilakukan secara realistik. Penyampaian dilakukan secara deskriptif dan informatif.

10. Penjara Pudu bukanlah satu nama asing bagi warga kota. Kedudukannya yag hampir dengan pusat bandar raya Kuala Lumpur mengingatkan kita tentang keutuhan kubu A Famosa yang berdiri gagah di bandar raya Melaka. Kos pembinaan penjara ini ialah RM320 000, iaitu jumlah yang cukup besar ketika itu.

- Retorik pendedahan
- Ciri-ciri: Menjelaskan sesuatu perkara secara berkesan. Bersifat objektif, tepat dan jelas. Tidak    mengandungi emosi dan pandangan peribadi.

11. Pengimport tunggal Bumiputera bagi daging dan makanan laut dari beberapa buah negara Eropah, iaitu Syarikat Osmal Sdn. Bhd., yakin bahawa permintaan bekalan barang tersebut tidak terjejas walaupun berlaku perang. Sebaliknya, pengimport berkenaan menjangka bahawa permintaan terus stabil dan meningkat.

- Retorik penghujahan
- Dikemukakan dengan bukti, dalil dan alasan yang munasabah dan dapat diterima. Dilakukan untuk meyakinkan khalayak tentang kebenaran sesuatu.

12. Virus misteri radang paru-paru akibat Sindrom Pernafasan yang teruk telah mengorbankan nyawa yang banyak. Sindrom ini menyebabkan kebimbangan dalam kalangan rakyat Malaysia. Oleh sebab itu, penyakit ini mudah berjangkit dan tiada penawarnya. Kerajaan mestilah mengambil tindakan tegas dengan mengkuarantinkan mereka yang baru pulang dari negara yang dilanda penyakit tersebut.

- Retorik penghujahan
- Dikemukakan dengan bukti, dalil dan alasan yang munasabah dan dapat diterima. Dilakukan untuk meyakinkan khalayak tentang kebenaran sesuatu.

13. Dasar Pandang ke Timur yang diperkenalkan dahulu wajar diteruskan kerana dasar itu relevan dan penting bagi memajukan Malaysia dalam pelbagai bidang, khususnya dalam bidang teknologi. Hal ini demikian kerana nilai dan etika negara matahari terbit itu sesuai dijadikan model untuk meningkatkan pembangunan negara.

- Retorik penghujahan
- Dikemukakan dengan bukti, dalil dan alasan yang munasabah dan dapat diterima. Dilakukan untuk meyakinkan khalayak tentang kebenaran sesuatu.

No comments: