SOALAN: Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang usaha-usaha membendung pencemaran alam sekitar dan kepentingan mewujudkan alam sekitar yang bersih. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.
“Bumi yang tiada rimba, seumpama hamba, dia dicemar manusia, yang jahil ketawa.” Begitulah antara bait lagu Hijau dendangan Zainal Abidin. Seni kata lagu itu menceritakan kemusnahan alam sekitar akibat kerakusan manusia. Sikap manusia memang menjadi faktor utama pencemaran alam sekitar. Buktinya, kini berlaku perubahan cuaca yang tidak menentu, penipisan lapisan ozon, banjir kilat, kenaikan suhu global dan pencemaran udara serta air bertoksin. Ketika ini, pelbagai pihak tampil mempromosikan usaha memelihara alam sekitar menerusi media secara serius. Namun usaha tersebut masih di peringkat awal, kerana majoriti masyarakat seolah-olah belum peka dengan masalah alam sekitar. Banyak pihak yakin cara terbaik untuk memelihara dan memulihara alam sekitar adalah dengan memberikan pendidikan awal kepada golongan kanak-kanak berkaitan alam sekitar. Pepatah “melentur buluh biarlah dari rebungnya” adalah tepat untuk usaha ini.
Banyak lagi usaha yang boleh dilakukan termasuk mengasuh mereka menggunakan sumber alam secara berhemat terutamanya penggunaan air dan elektrik.Sebagai contoh, air mandian dan basuhan boleh dikitar semula untuk menyiram pokok. Contoh yang lain, lampu dan peralatan elektrik lain perlu ditutup jika tidak digunakan lagi. Selain itu, menggalakkan mereka membuang sampah di tempat yang disediakan. Didik mereka untuk kitar semula dengan mengasingkan jenis-jenis sampah yang boleh dikitar semula dan yang tidak boleh seperti botol, plastik, kaca, dan kertas. Wujudkan tong sampah mengikut jenis-jenis bahan buangan tersebut. Malah, kita perlu mengajar anak-anak mengumpulkan bahan buangan seperti tin aluminium dan surat khabar lama dan seterusnya dibawa ke pusat kitar semula. Cara ini boleh menambahkan tabungan. Didik anak-anak membuat baja kompos dengan sisa makanan. Baja tersebut digunakan untuk pokok bunga atau sayur-sayuran yang ditanam di halaman. Dengan ini, mereka akan turut dididik dengan konsep “berbakti kepada tanah.”
Majalah-majalah dan surat khabar boleh digunakan semula oleh anak-anak dengan cara mengumpulkan atrikel-artikel tertentu untuk dijadikan buku skrap atau ensiklopedia peribadi tentang topik yang menjadi minat mereka. Pendekatan ini akan membantu menjana pemikiran mereka. Terapkan sifat berjimat cermat seperti menggunakan semula barang-barang lama dan dijadikan kraf tangan seperti beg, selimut, atau alas meja. Tin atau botol plastik pula boleh diubah suai menjadi tabung, bekas alat tulis, atau arca. Pakaian anak-anak yang tidak lagi digunakan mungkin boleh didermakan kepada rumah-rumah kebajikan atau anak yatim. Cara ini dapat mendidik mereka menjadi pemurah selain menggalakkan mereka menyertai program berkaitan pemeliharaan alam sekitar, misalnya menyertai program gotong-royong membersihkan kawasan kejiranan, menyertai ceramah atau kempen penjagaan alam sekitar.
Kita perlu sedar bahawa walaupun usaha tersebut kelihatan kecil tetapi jika semua orang melakukannya, usaha ini banyak menghasilkan kesan yang positif kepada alam sekitar. Usaha terus dilakukan, tetapi masyarakat menganggap masalah alam sekitar tanggungjawab kerajaan sepenuhnya. Keadaan lebih buruk apabila masyarakat menganggap hal-hal berkaitan alam sekitar tidak penting, berbanding perut yang perlu diisi. Tegasnya, kita perlu bertindak sebelum nasi menjadi bubur.
(Dipetik dan diubah suai daripada‘Surat Pembaca’
Utusan Malaysia, 18 November 2009)
RUMUSAN
Petikan membincangkan cara-cara mengatasi pencemaran alam sekitar di negara Malaysia.
Usaha membendung pencemaran alam sekitar dengan memberikan pendidikan awal tentang pentingnya menjaga alam sekitar kepada golongan kanak-kanak. Seterusnya, mendidik supaya menggunakan sumber alam secara berhemat. Selain itu, menggalakkan pembuangan sampah di tempat yang sepatutnya. Seterusnya, mewujudkan tong yang berasingan mengikut jenis-jenis bahan sampah. Di samping itu, menggalakkan untuk membawa bahan buangan ke pusat kitar semula.. Akhir sekali, menerapkan sifat berjimat-cermat dengan menggunakan semula barang-barang lama.
Kesimpulannya, semua pihak perlu bekerjasama dan bertanggungjawab dalam melaksanakan tindakan sepatutnya supaya dapat menghasilkan kesan positif kepada alam sekitar.
No comments:
Post a Comment