GENK
Harungi 15 cabaran untuk layak ke pertandingan akhir
KAGUM dan bangga. Itulah dua perkataan yang dapat disimpulkan di sebalik kejayaan enam pelajar Kolej Permata Pintar, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menggondol 38 butir pingat pada Piala Cendiakawan Dunia (WSC) di Bangkok, Thailand baru-baru ini.
Yashvin Kumar, 17, yang menyertai pasukan senior bersama Ang Jia Jiunn, 17, dan Muhammad Arman Aizat Nor Azham, 16, tidak dapat menyembunyikan perasaan terujanya.
Bagi Yashvin, WSC adalah platform untuk pelajar tempatan mengukur prestasi dan pencapaian mereka pada peringkat antarabangsa.
Dia dan rakan-rakan lain layak ke pertandingan akhir WSC di Universiti Yale, Amerika Syarikat pada November depan selepas berjaya mengumpul lebih daripada 25,000 mata sebagai syarat kelayakan.
“Idea di sebalik penubuhan WSC adalah mencipta sesuatu yang berbeza daripada pendidikan konvensional. Ia merentas sempadan silibus mata pelajaran dan meraikan kekayaan ilmu pengetahuan yang tiada batasan.
“Perkara ini mendorong peserta menjadi lebih bermotivasi. Kami bukan sahaja menumpukan pengetahuan sedia ada tetapi meneroka kekuatan-kekuatan baharu,” katanya.
Selain Yashvin, Jia Jiunn dan Muhammad Arman Aizat, kejayaan itu turut dinikmati Nur Alyssa Sabaruddin, 13, Oh Juin Chuen, 14, dan Ong Jing Kai, 14, mewakili pasukan junior.
Tiga daripada pingat yang dimenangi pada pertandingan yang berlangsung dari 25 Jun hingga 1 Julai itu adalah pingat emas, manakala selebihnya perak. Sebanyak 26 pingat disumbangkan oleh pasukan junior.
Disifatkan sebagai pertempuran akademik luar biasa, WSC merupakan satu pertandingan menguji kecekapan berbahasa Inggeris pelajar dari serata dunia antaranya, Amerika Syarikat, Britain, Switzerland,
Ratusan soalan sukar dan deretan judul esei merentasi pelbagai disiplin ilmu yang disajikan kepada 3,500 peserta dari lebih 50 negara itu sudah cukup untuk menggambarkan suasana kejohanan itu ibarat medan perang.
Ia diasaskan oleh Presiden DemiDec, iaitu sebuah badan jaringan pendidikan global, Daniel Berdichevsky iaitu alumni Universiti Harvard, Yale dan Stanford pada 2006.
Cabaran
Peserta perlu mengharungi 15 peringkat cabaran yang mencakupi pengetahuan dalam bidang jenayah, undang-undang, sains, seni, muzik, sastera, sejarah dan pengajian sosial di bawah tema Dunia Tidak Sempurna.
Lebih manis bagi Yashvin, eseinya yang bertajuk Kewajaran Menggunakan Manusia Sebagai Subjek Uji Kaji menyumbang pingat perak buat pasukan itu.
“Penulisan itu mengupas isu berkenaan dari sudut sains perubatan dan etika kemanusiaan. Sejauh mana ia berbaloi dan apa kesan positif serta negatif yang mungkin ditimbulkan.
“Hujah yang dibentangkan tidak memberi satu keputusan yang muktamad, sebaliknya menghadirkan lebih pilihan kerana keperluan, situasi dan kehendak semasa sentiasa berubah-ubah,” katanya.
Sementara itu, Jia Jiunn berpendapat, mereka tidak perlu berasa tergugat apabila bertemu peserta-peserta lain yang lebih pintar kerana setiap individu dilahirkan mempunyai keistimewaan tersendiri.
“Ramai orang memiliki kebijaksanaan. Ia adalah suatu anugerah dan perlu digilap serta diterjemahkan dalam suatu bentuk idea dan pemikiran untuk manfaat ramai.
“Perkara paling penting adalah sentiasa bersikap merendah diri dan berpegang kepada nilai-nilai murni,” katanya.
Penyelidikan
Berkongsi aktiviti terkini mereka selepas pertandingan itu, Muhammad Arman memberitahu, dia dan Jia Jiunn kini sedang menjalankan penyelidikan mengekstrak emas daripada litar elektrik.
“Membawa pulang pingat-pingat ini menjadikan kami lebih bermotivasi dan bersemangat. Menerusi penyelidikan itu, kami sedang mencipta sejenis cecair kimia yang boleh memisahkan atau mengeluarkan emas daripada menyaluti komponen litar.
“Dalam kajian itu, kami mendapati produk sampah elektronik mengandungi sekurang-kurangnya 35.8 peratus emas dan merupakan suatu pembaziran jika ia tidak dimanfaatkan untuk menjana ekonomi,” katanya.
Peserta tunggal perempuan ke Bangkok, Nur Alyssa mengakui ada berasa sedikit tertekan untuk menyelesaikan satu demi satu tugas yang diberikan.
“Namun, semangat berpasukan dan tolong-menolong sangat membantu.
“Selain itu, kemahiran mengaplikasi pengetahuan yang dipelajari juga sangat penting dalam mencari penyelesaian masalah,” ujar bekas pelajar Sekolah Kebangsaan St. Teresa, Kuching, Sarawak itu.
Kolej Permata Pintar UKM menyediakan program pendidikan khas untuk anak-anak yang dikurniakan darjah kecerdasan intelektual tinggi dengan tenaga pengajarnya merupakan kakitangan UKM.
Pelajar yang mengikuti pengajian di kolej itu dipilih melalui ujian saringan dan penilaian secara merit untuk memulakan program berkenaan seawal usia 11 tahun.
Ia diilhamkan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor selaku penaung di bawah tujuh inisiatif program Permata termasuk Permata Negara, Permata Seni, Permata Insan, Perkasa Remaja, Permata Kurnia dan Hospital Pakar Kanak-Kanak Permata.
Artikel Penuh: http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0808&pub=Kosmo&sec=GenK&pg=gk_01.htm#.V6q3wgczF0s.facebook#ixzz4HDRgCPwv
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment