Sunday, 3 April 2016

JURNAL HARIAN TUGASAN BM Bil. 2/2016 : BERCUTI DI LANGKAWI - POST 2

Jurnal ini adalah sambungan dari post yang bertajuk "JOURNAL HARIAN : BERCUTI DI LANGKAWI - POST 1", yang saya postkan di blog ini pada 27/3/2016. Oleh sebab lawatan ke Langkawi ini adalah yang ke-5, maka saya telah mengetahui setiap tempat pelancongan dan produk-produk pelancongan yang ditawarkan.

Dari pengamatan saya, tidak banyak produk baru atau tempat-tempat pelancongan yang baru semenjak tiga tahun yang lepas. Selepas meronda ke semua tempat di Langkawi dengan menaiki kereta Pak Su Amin, kami menamatkan lawatan pada hari pertama di tempat yang wajib dikunjungi, malahan perlu singgah untuk membeli produk wajib, iaitu COKLAT di Haji Ismail Group. Wow, saya dapati perniagaan Haji Ismal Group pesat berkembang. Sekarang, beliau mempunyai sebuah hotel yang digabungkan dengan pusat perniagaan di mana dikenali sebagai HJ ISMAIL GROUP HOTEL, bertempat di pekan Kuah.




Apabila memasuki kawasan menjual coklat, mata kami rambang dengan koleksi coklat yang ditawarkan dari seluruh dunia yang terkenal dengan produk coklat. Terdapat coklat dari Switzerland, Belgium, Perancis, Amerika Syarikat, dan Malaysia. Saya amati semua pengunjung membeli coklat dalam jumlah yang amat banyak. Hampir separuh troli atau sebakul penuh dengan coklat. Kami membeli produk coklat jenama Daim, Cadbury, Whittakers, Kit Kat, Mars, Snickers, Werther's Original dan lain-lain. Apabila balik ke hotel, peti sejuk yang disediakan penuh dengan coklat.


Lawatan pada hari kedua dimulakan pada awal pagi. Selepas menikmati sarapan pagi di Coffee House di Baron Hotel, kami memulakan penjelajahan pada hari kedua ke Langkawi Skycar di Gunung Mat Cincang. Sesuatu yang merugikan jika berkunjung ke Langkawi tanpa menaiki cable car ini. Oleh sebab percutian ini dalam cuti persekolahan, maka jumlah pengunjung di Pulau Langkawi bertambah secara mendadak dan harga-harga yang dikenakan adalah harga puncak (peak period price).

Kami bernasib baik kerana rakan-rakan pejabat ibu saya telah beratur untuk membeli tiket. Dari pengalaman saya, jika hendak membeli tiket, perlulah mengumpulkan kad pengenalan bagi mendapatkan harga diskaun sebagai warganegara Malaysia. Saya mendapati terdapat penambahan perkhidmatan yang mana kita ditawarkan menonton 3D movie selama 5 minit. Walaupun tidak sehebat yang saya pernah tonton di Pulau Sentosa dan di USS Singapura, tetapi masih lagi menghiburkan.



Kami menghabiskan masa di puncak Gunung Mat Cincang, di stesen kedua, dengan bermain-main serta menikmati pemandangan indah dari puncak Gunung Mat Cincang. Pandangan ke arah laut Andaman amat indah dan mengasyikkan. Sesuatu yang menarik dalam lawatan kali ini ialah berkumpul kembali dengan sahabat-sahabatku iaitu Akrabin alias Abin, dan Alin. Hampir tiga tahun kami tidak berjumpa kerana mereka mengikuti ibu bapa mereka bekerja di Geneva, Switzerland. Wow! Alin sekarang bercakap dalam bahasa Inggeris dengan loghat Amerika. Malahan, Alin dan Abin fasih berbahasa Perancis.

Semasa di Switzerland, mereka telah bersekolah selama tiga tahun di sebuah sekolah antarabangsa yang menggunakan bahasa Perancis sebagai bahasa pengantar. Seperti yang kita sedia maklum, Switzerland menggunakan tiga bahasa dalam pertuturan harian, iaitu bahasa Swiss, Perancis dan Inggeris.





Lawatan pada hari kedua ditamatkan dengan mengunjungi puncak yang tertinggi di Langkawi, iaitu Gunung Raya. Terdapat sebuah hotel di puncak Gunung Raya dan kita boleh menaiki menara dengan hanya membayar RM10. Pemandangan dari puncak menara amat indah. Kita boleh melihat Pulau Phipi, Thailand dan pulau-pulau di sekeliling Pulau Langkawi. Udaranya amat nyaman dan mengasyikkan. Kami menikmati minum petang dengan teh herba sambil menikmati panaroma yang indah dari puncak Gunung Raya.


Kami juga melawat beberapa tempat yang lain seperti Beras Terbakar di Padang Matsirat, Makam Mahsuri yang mana sekarang dikenali sebagai Kota Mahsuri, dan 3D Art Museum.




MUZIUM 3D LANGKAWI. Fuyoooo.... tetiba banyak pula Muzium 3D kat Malaysia ni. Satu persatu, ada je yang baru.

Lokasi Muzium 3D Art in Paradise ni adalah di Oriental Village Langkawi. Ala, satu tempat dengan Langkawi Cable Car. Saya pasti semua orang ke Langkawi mesti naik kereta kabel tu kan? Alang-alang tu, pergilah Muzium 3D Art in Paradise ni.




Oleh sebab cuaca yang terlalu panas di Langkawi sehingga cecah 39 - 40 darjah Celsius, amat tidak sesuai untuk aktiviti outdoors. Kami membatalkan aktiviti island hopping dan mangrove sightseeing kerana tidak sesuai dengan keadaan panas Equinox yang sedang melanda. Kami dimaklumkan Pulau Langkawi tidak dituruni hujan semenjak bulan Disember 2015.

Kami pulang ke Kuala Lumpur dengan menaiki pesawat MAS. Oleh sebab kami datang dengan menaiki pengangkutan darat dan laut iaitu menaiki bas dan feri, kami pulang menggunakan pengangkutan udara.

TAMAT.

No comments: