Friday 4 March 2016

Produk Permata Pintar lahir siswazah berkualiti - Utusan Malaysia 4/3/2016

Produk KOLEJ PERMATApintar NEGARA, UKM  lahir siswazah berkualiti

NOOR AZLAN GHAZALI (kanan) beramah mesra dengan pelajar Permata


KUALA LUMPUR 3 Mac – Kejayaan seorang bekas peserta Program Permata Pintar melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana di Amerika Syarikat (AS) sudah cukup untuk membuktikan bagaimana program cetusan idea isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor itu berjaya menghasilkan siswazah berkualiti tinggi pada usia muda.

Elena Zafrul, 21, yang merupakan salah seorang daripada 116 pelajar dari seluruh negara yang terpilih untuk menyertai Program Pendidikan Menengah Permata Pintar pada 17 Januari 2011 berkata, kaedah pembelajaran program itu sangat berbeza daripada sekolah konvensional apabila pelajar diajar untuk berdikari, berfikiran kreatif dan berdaya saing.

Beliau berkata, Pusat Permata Pintar Negara yang terletak di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) juga dilengkapi dengan peralatan pembelajaran serba moden, selain mempunyai guru-guru terlatih serta cekap dalam membantu pelajar menjadi lebih cemerlang.

Beliau bersama 14 pelajar lain berjaya menamatkan pelajaran peringkat menengah lebih awal di dalam program berkenaan sebelum ditawarkan untuk belajar ke peringkat Sarjana Muda dalam bidang Sains Aktuari di Universiti Iowa, AS pada Ogos 2012.

“Memang agak sukar untuk menyesuaikan diri di negara orang pada awalnya, namun berkat bimbingan guru dan ilmu berdikari yang telah dipelajari semasa di dalam Program Permata Pintar saya berjaya menamatkan pelajaran.

“Saya menghabiskan masa selama dua tahun di Permata Pintar, di sini saya belajar tentang algebra, calculus dan yang paling penting belajar untuk berdikari dengan tidak terlalu mengharapkan bantuan orang lain. Perkara tersebut begitu membantu saya ketika belajar di AS,” katanya.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Perempuan Sultan Ibrahim itu sedang menunggu bantuan biasiswa Kementerian Pendidikan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana dalam bidang Matematik Kewangan di Universiti Edinburg, AS dalam masa terdekat.

Elena ditemui dalam Majlis Showcase Kejayaan Pelajar Permata Pintar yang turut dihadiri Naib Canselor UKM, Prof. Datuk Dr. Noor Azlan Ghazali dan Pengarah Pusat Permata Pintar, Prof. Datuk Dr. Noriah Mohd. Ishak.

Pusat Permata Pintar Negara ditubuhkan pada 2011 bagi mengumpulkan pelajar pintar dan berbakat dari seluruh negara untuk dikembangkan potensi mereka supaya menjadi aset negara.

Komposisi pembelajaran Program Permata Pintar melibatkan 50 peratus akademik, 10 peratus penyelidikan, 10 peratus portfolio penilaian, 15 peratus kokurikulum dan 15 peratus pembinaan jati diri.

Sehingga kini seramai 444 pelajar Pusat Permata Pintar Negara menamatkan pelajaran dan menyambung pengajian di pelbagai universiti dalam dan luar negara termasuk Universiti Cambridge, Universiti Cornell dan UKM.

No comments: