Friday 4 March 2016

Kurikulum Kolej PERMATApintar Diterima Universiti Luar Negara - BERNAMA 4/3/2016

Kurikulum Kolej PERMATApintar Negara, UKM - Diterima Universiti Luar Negara

BANGI, 3 Mac (Bernama) -- Kurikulum Kolej PERMATApintar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah diterima universiti luar negara termasuk di Amerika Syarikat, United Kingdom, Korea Selatan, Jepun, Jerman dan Australia, kata Naib Canselor UKM Profesor Datuk Dr Noor Azlan Ghazali.


"Penerimaan universiti luar negara membolehkan pelajar-pelajar yang menamatkan pengajian di Kolej PERMATApintar UKM untuk terus menyambung pengajian di tahun satu di universiti luar negara," katanya ketika membentangkan kejayaan pelajar PERMATApintar di sini hari ini.

Sehingga kini, katanya, 444 pelajar Kolej PERMATApintar telah menamatkan pengajian mereka dan menyambung pelajaran di pelbagai universiti dalam dan luar negara termasuk Cambridge University, University of Cornell dan University of Michigan.

Menurutnya, 15 daripada 116 pelajar pengambilan pertama Kolej PERMATApintar pada 2011 berjaya melanjutkan pengajian sarjana muda di beberapa universiti terkemuka Amerika termasuk Brown University, University of California, Los Angeles (UCLA), John Hopkins University dan University of Wisconsin.

Daripada jumlah itu, dua pelajar lepasan Kolej PERMATApintar yang dijadualkan menamatkan pengajian peringkat sarjana pada bulan depan sudah mendapat tawaran untuk melanjutkan pengajian ke peringkat doktor falsafah, katanya.

Seorang daripada 15 pelajar berkenaan yang ditemui di UKM hari ini, Elena Zafrul, 21, berkata beliau memulakan pengajian di kolej PERMATApintar, UKM pada 2011 dan mendapat tawaran melanjutkan pengajian ke University of Iowa di Amerika pada Ogos 2012, iaitu selepas hanya setahun lebih menuntut di kolej tersebut.

"Kini saya sedang menunggu untuk melanjutkan pengajian dalam bidang sarjana matematik kewangan di University of Edinburgh," katanya, yang gembira menjadi pelajar terawal Kolej PERMATApintar yang mendapat tawaran melanjutkan pengajian peringkat sarjana.


Program PERMATApintar Negara dilancarkan pada Mac 2009 dengan UKM dipilih sebagai agensi pelaksana. Kolej PERMATApintar Negara, UKM merupakan satu-satunya pusat kecemerlangan di Malaysia yang bertanggungjawab mengenal pasti pelajar-pelajar pintar dan berbakat untuk mengembangkan potensi diri.


Pelajar yang mengikuti pengajian di Kolej PERMATApintar dipilih melalui ujian saringan dan penilaian untuk memulakan program berkenaan pada usia 16 tahun.


Tujuan utama program pendidikan Kolej PERMATApintar adalah menyediakan pendidikan holistik dan suasana pembelajaran yang kondusif khusus untuk pelajar-pelajar pintar dan berbakat.


Program pengajian di Kolej PERMATApintar merupakan program sepenuh masa yang mengambil masa dua tahun, dengan kurikulum yang disediakan merangkumi enam komponen iaitu akademik, penyelidikan, portfolio penilaian, kokurikulum dan pembinaan jati diri.


Selepas menamatkan pengajian di Kolej PERMATApintar UKM, para pelajar menerima PERMATApintar 'high school diploma' yang setaraf dengan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).


Program PERMATA merupakan cetusan idea isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang juga penaung PERMATA.


Ia bertujuan memastikan setiap anak diberikan peluang pelajaran terbaik agar mereka dapat menyumbang sebagai modal insan negara.


-- BERNAMA

No comments: