Sunday, 1 May 2016

JURNAL HARIAN TUGASAN BM Bil. 9/2016: MAJLIS PERKAHWINAN SEPUPU SAYA (1/5/2016)

Pada Mei pertama, 2016 (1/5/2016), berlangsungnya majlis perkahwinan sepupu saya, Nor Afidah bt. Hj. Ab. Halim. Majlis tersebut berlangsung di rumah ibu saudara (Mak Ngah) di Kampung Lembah Kinrara, Puchong Jaya, Selangor. Tema yang dipilih untuk majlis ini adalah Fire and Ice, iaitu warna biru, merah, dan warna-warna yang berkaitan dengan matahari.



Keluarga ayah saya berasal dari Johor. Oleh yang demikian, majlis yang dilangsungkan mengikut adat istiadat Johor. Pada malam sebelum majlis perkahwinan, berlangsungnya acara berinai dan diikuti dengan tahlil arwah serta majlis kenduri doa selamat. Kami sekeluarga bergotong-royong menyediakan jamuan yang mana kami menghidangkan nasi ayam dan kuih-muih. Majlis selesai pada jam 12.00 malam dan kami hanya sampai di rumah pada 1.00 pagi. Wah! Penatnya malam ini! Kami tidur dalam keadaan kepenatan, dan terpaksa bangun awal pagi untuk hari kemuncak.




Upacara pernikahan dilangsungkan pada sebelah pagi, dan pada sebelah tengahari, bermulalah majlis perkahwinan. Saya ditugaskan untuk menyambut tetamu, dan kebanyakan masa, saya berbual-bual dengan saudara-mara. Apabila kompang berbunyi, ini menandakan rombongan pengantin lelaki telah tiba.




Sesuatu yang agak berlainan mengikut cara kerja khawin orang Johor adalah; pihak lelaki akan dihalang untuk masuk ke tempat persandingan dengan sewenang-wenangnya, yang mana mereka ditahan beberapa kali untuk membayar tol. Pihak pengantin lelaki kena membayar sedikit wang kepada mereka yang ditugaskan untuk menghalang pengantin lelaki. Semakin hampir kepada pelamin, semakin mahal tol yang perlu dibayar. Tujuan diadakan hanyalah untuk bergembira dan mengenali keluarga pihak lelaki dan pihak perempuan secara jenaka.




Pada sebelah malam, kami menghabiskan dengan bergotong-royong untuk membersihkan rumah dan acara membuka hadiah. Wah! Seronok sekali apabila semua ahli keluarga berkumpul dan pihak pengantin lelaki diarahkan untuk memperkenalkan diri dan menyampaikan ucapan. Majlis diakhiri dengan doa selamat dan tanda kesyukuran kerana majlis telah berjalan dengan lancar.




No comments: