Wah! Standing ovation! Puji-pujian dari Prof. Madya Dr. Arif! Syabas daripada Dato' Drs. Ridzuwan! Semua ini berbaloi setelah berlatih selama beberapa hari. Lanjutan daripada persembahan ghazal semasa hari graduasi senior dua atau tiga bulan yang lepas, pada kali ini, pelajar-pelajar Foundation 3 bergabung dengan pelajar Foundation 2 membuat persembahan dalam skala yang lebih besar dan teratur.
Semasa dipersembahkan buat pertama kali ketika hari graduasi yang lepas, kami hanya sempat berlatih untuk dua hari sahaja, malahan inilah pertama kali saya bermain harmonium dan terlibat dalam persembahan dalam medium tradisional. Sambutan pada persembahan yang pertama, kami dijemput sekali lagi membuat persembahan semasa 'Young Scientists Conference'. Persembahan daripada pelajar Kolej PERMATApintar Negara, UKM, merupakan persembahan yang terakhir.
Persembahan pembukaan adalah dari rakan-rakan maktab tentera iaitu Maktab Tentera Diraja atau dikenali sebagai Royal Military College. Mereka telah mempersembahkan tarian tradisional dan diikuti dengan persembahan hakka yang diperkenalkan oleh pasukan 'The All-Black' dari New Zealand. Tarian pahlawan ini amat sinonim dengan kecergasan, ketengkasan dan keberanian.
Sesuatu yang menarik adalah mereka mempersembahkan dengan memakai pakaian seragam tentera darat yang kelihatan tangkas, gagah dan berani.
Persembahan dikir barat dari sebuah sekolah juga amat menarik pada perhatian saya. Dikir barat adalah satu bentuk rap ala Kelantan yang mana menggunakan loghat Kelantan yang menyeronokkan.
Persembahan daripada Kolej PERMATApintar Negara, UKM adalah persembahan yang terakhir. Kami diberi kata-kata semangat oleh guru persembahan kami, Dato' Drs. Ridzuwan dan En. Hafiz untuk membuat persembahan all-out, bagi menonjolkan persembahan ghazal kami dan menaikkan nama Kolej PERMATApintar Negara. Semasa menunggu giliran kami membuat persembahan, kami terhibur dengan persembahan-persembahan dari sekolah-sekolah lain.
Apabila giliran kami dipanggil untuk membuat persembahan, pada peringkat awalnya, saya berasa sedikit gementar (stage fright). Alhamdulillah, apabila muzik bergema, hilang semua gementar saya dan saya berseronok di atas pentas mempersembahkan seni ghazal pasukan kami.
Saya berterima kasih kepada Al-Hakim yang menunjukkan satu karakter kelucuan serta yang amat semangat dan berdedikasi semasa persembahan berlangsung. Tepukan gemuruh dan standing ovation dari penonton-penonton, terutama dari pelajar RMC, membuat kami lebih bersemangat dan kami memberi lebih tenaga dalam persembahan kami, yang mana disambut baik oleh mereka yang melihatnya.
Saya berterima kasih kepada Dato' Drs. Ridzuwan, En. Hafiz, dan semua warga Pusat PERMATApintar Negara yang telah memberi peluang kepada pelajar-pelajar Foundation untuk mempersembahkan seni kami. Saya juga berharap agar pasukan ghazal ini dapat dikembangkan dan diberi peluang untuk membuat persembahan di masa yang akan datang.
Bravo, pasukan ghazal!
-TAMAT-
No comments:
Post a Comment