Friday, 29 April 2016

JURNAL HARIAN TUGASAN BM Bil. 8/2016: Hari Sukan 2016

Acara sukan tahunan adalah acara kemuncak acara sukan bagi Kolej PERMATApintar Negara UKM. Sebenarnya banyak acara sukan telah berlangsung dalam mingu-minggu sukantara seperti merentas desa, acara berpasukan dalam dewan dan renang. Pada tahun ini saya hanya memasuki acara renang rampaian dan Rumah Topaz yang saya wakili hanya mendapat tempat ketiga.

Pada Selasa yang lepas, iaitu 26hb April, 2016, Kolej PERMATApintar Negara, telah mengadakan acara Kemuncak Sukan Tahunan untuk tahun 2016. Pada kali ini, rumah sukan saya, iaitu Topaz, telah memilih Hufflepuff, iaitu satu daripada empat rumah dalam filem Harry Potter sebagai maskot untuk rumah Topaz pada kali ini. Sekadar pengetahuan, maskot bagi rumah Sapphire pada kali ini adalah Jack Frost, seseorang watak dalam filem Rise of the Guardians, iaitu seseorang budak nakal yang suka keseronokan dan segala-galanya yang berkaitan dengan salji, yang menjadi penyelamat dunia ketika penjahat cuba untuk memusnahkan dunia dengan mimpi ngeri. Maskot bagi rumah Emerald pula ialah Maleficent, seorang watak dalam filem Maleficent, iaitu seorang wanita yang pada asalnya jahat yang mencabar perbuatan jahat terhadap Aurora, protagonis utama, yang akhirnya mempunyai perubahan hati dan berakhir menjadi seorang yang baik. Sekadar pengetahuan saya juga, saya tidak mengetahui maskot untuk rumah Ruby.

Pada pagi itu, kami telah berkumpul di stadium berdekatan dengan kolam renang dan asrama lelaki pada awal pagi iaitu jam 7:30 pagi untuk memulakan acara. Pada sebelah pagi, acara-acara yang telah dilangsungkan adalah balapan, 1500m, 800m, 400m, 200m dan 100m, bagi lelaki Asas, perempuan Asas, lelaki Tahap, dan perempuan Tahap. Walau bagaimanapun, saya tidak dapat melihat kesemua acara, kerana saya berada di gim memandangkan cuaca di luar terlalu panas pada ketika itu.

Selepas solat Zuhur di surau, saya terus ke stadium, sambungan acara bagi sesi petang.  Pada pukul 2.00 petang, telah ramai pelajar-pelajar berada dipersekitaran stadium, dan ramai bertumpu di gim, bersenam dengan mengunakan peralatan yang sedia ada, dan juga untuk menikmati kedinginan penghawa dingin memandangkan cuaca yang terlalu panas di luar. Pada jam 2.30 petang, acara-acara diteruskan dengan 4x100m dan 4x400m untuk semua kategori. Saya mengambil kesempatan untuk menjaga Sistem 'PA dengan memasang lagu-lagu bagi memberikan sedikit keriangan. Ada juga beberapa kawan lain yang memasangkan lagu mengikut kegemaran masing-masing seperti Naqib dengan Let Me Hear, iaitu yang merupakan tema intro untuk anime Parasyte, dan sebagainya.

Acara-acara diteruskan dengan sesi kedua untuk sukantara. Saya terlibat dalam tarik tali, kami hanya mampu mendapat tempat ketiga. Semua acara pada sesi petang tamat jam 7.15 petang dan kami diarahkan untuk turun kembali ke stadium pada pukul 8.00 malam untuk acara penutup.

Saya dengan agak kekalutan terpaksa mempercepatkan waktu makan, mandi dan pergi ke surau untuk sembahyang Maghrib, sebelum turun sekali lagi ke stadium. Walau bagaimanapun, saya terpaksa ke bilik semula untuk menukar baju, dan saya hanya sampai ke stadium pada pukul 7.50 malam. Saya mendapati bahawa pelajar-pelajar dari PERMATAinsan telah datang untuk sama-sama terlibat dalam aktiviti balapan dan tarik tali, dan saya berkesempatan berbual-bual dengan beberapa pelajar PERMATAinsan.

Perasmian acara sukan dilakukan oleh Yg Bhg Professor Datuk Dr. Noriah dan diteruskan acara pembarisan oleh setiap rumah sukan dan juga pelajar dari PERMATAinsan. Pada malam itu, saya mengambil kesempatan untuk bertugas menjaga PA System dengan memasangkan beberapa lagu sbagi mengurangkan rasa bosan dan mengantuk.

Selepas acara balapan dan tarik tali selesai, lampu besar stadium ditutup, dan kemudiannya, pertunjukan bunga api diadakan. Ia diteruskan dengan penyampaian pingat kepada pemenang. Akhirnya, rumah sukan Topaz diumumkan sebagai juara! Saya dan semua pelajar yang lain bergembira dan mengambil banyak gambar untuk disimpan sebagai memori pada masa akan datang.


Saya amat bersyukur kerana menjadi ahli rumah sukan Topaz yang menjulang kejuaran pada kali ini, dan saya juga cuba membantu Topaz mengekalkan kejuaran pada tahun depan.


GG TOPAZ!

Sekian sahaja daripada saya. Assalamualaikum.

No comments: