Saturday 9 April 2016

CARA-CARA UNTUK MENGATASI KEJATUHAN EKONOMI DUNIA

PENDAHULUAN

Semenjak revolusi perindustrian di Eropah, krisis ekonomi global telah melanda beberapa kali. Semasa pihak Inggeris menjajah Tanah Melayu, beberapa kali Tanah Melayu telah mengalami kesusahan kerana kejatuhan harga getah dan harga bijih timah disebabkan permintaan yang lemah di Eropah. Kesan daripada kejatuhan ini telah menyebabkan penduduk Tanah Melayu mengalami kemerosotan ekonomi. Seterusnya, semasa Perang Dunia Kedua, iaitu semasa penjajahan Jepun ke atas Tanah Melayu, ia telah menyebabkan kemelesetan ekonomi yang melampau yang mana penduduk Tanah Melayu sukar untuk mendapatkan beras dan barang-barang asas kesan daripada peperangan. Manakala, mata wang Jepun tidak mempunyai nilai pada ketika itu kerana dicetak sesuka hati tanpa disandarkan dengan emas.

ISI-ISI

Antara cara-cara untuk mengatasi kejatuhan ekonomi dunia adalah seperti berikut:

1.      Dunia perlu mengelakkan konflik peperangan.

Selepas Perang Dunia Kedua, terdapat beberapa peperangan antara negara seperti Peperangan Iran-Iraq, antara September 1980 dan Ogos 1988, yang menyebabkan harga minyak mentah naik mendadak kerana kekurangan penawaran. Kesan daripada peperangan tersebut telah menyebabkan kemerosotan ekonomi dunia terutama pada tahun 1986 hingga 1990. Seterusnya, semasa Iraq menceroboh Kuwait telah mencetuskan konflik yang menyukarkan dunia di mana negara-negara maju telah membentuk Pasukan Tentera Bersekutu untuk menentang Iraq dan menyebabkan kemelesetan ekonomi dunia sekali lagi. Ini bermakna, untuk mengatasi kejatuhan dunia, semua negara perlu mengelakkan konflik peperangan. Jika terdapat konflik, perlulah merujuk kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

2.      Setiap negara perlu mengekalkan pertumbuhan ekonomi yang positif.

Pada tahun 1997, negara-negara Asia seperti Korea Selatan, Thailand, Indonesia dan Malaysia telah mengalami kemerosotan ekonomi yang teruk akibat daripada Krisis Kewangan Asia 1997. Sehingga 1996, Asia menarik hampir setengah dari aliran modal negara membangun. Tetapi, Thailand, Indonesia dan Korea Selatan memiliki "current account deficit" dan pemulihan kecepatan pertukaran ditambat menggalakkan pinjaman luaran dan menyebabkan keketerbukaan yang berlebihan daripada risiko pertukaran mata wang asing dalam sektor kewangan dan perusahaan.

China telah mula bersaing secara agresif dengan pengeksport Asia lainnya terutama pada 1990, setelah penerapan perubahan kepada berorientasikan eksport. Yang paling penting, mata wang Thailand dan Indonesia adalah berhubung erat dengan dolar, yang naik nilainya pada 1990 an. Mengakibatkan para pengimport Barat mencari pengeluar yang lebih murah dan menemukannya di China yang nilai mata wangnya rendah berbanding dolar.

Krisis Asia bermula pada pertengahan 1997 dan mempengaruhi mata wang, pasaran saham dan harga aset beberapa ekonomi Asia Tenggara. Bermula dengan kejadian di Amerika Selatan, pelabur Barat kehilangan kepercayaan terhadap keamanan di Asia Timur dan mulai menarik kembali wang pelaburan mereka.

Malaysia bernasib baik kerana dipimpin oleh Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang telah menggunakan kaedah tambatan ringgit kepada USD, iaitu RM3.80 kepada USD1, dan menghalang mata wang negara mengalir keluar bagi mengelakkan berlakunya serangan terhadap mata wang negara. Ini bermakna setiap negara di dunia perlu mengekalkan pertumbuhan ekonomi yang positif.

3.      Meningkatkan pengunaan produksi dalam negeri.

Setiap negara di dunia perlulah meningkatkan produksi dalam negeri yang mana setiap bahan komoditi yang dihasilkan perlulah dipertingkatkan kepada produk-produk kegunaan yang lain, contohnya negara Malaysia telah memperbagaikan produk hasil minyak kelapa sawit. Malaysia telah mengekspot minyak kelapa sawit mentah dan juga produk-produk hasil daripada minyak kelapa sawit seperti majerin, sabun, produk kosmetik dan sebagainya. Ini bermakna peluang pekerjaan kepada penduduk negara bermula dengan pekebun-pekebun serta pekerja ladang dan juga ditingkatkan dengan peluang pekerjaan di sektor perkilangan berasaskan minyak kelapa sawit dan juga sumbangan langsung meningkatkan ekspot negara.

4.      Memanfaatkan peluang perdagangan antarabangsa.

Untuk meningkatkan kerancakan ekonomi dunia, setiap negara perlu memanfaatkan peluang perdagangan antarabangsa. Ini bermakna setiap negara perlulah mengamalkan perdagangan bebas dan merendahkan tariff bagi membolehkan setiap negara yang mempunyai lebihan pengunaan dalam negeri boleh mengekspot ke negara-negara yang memerlukan bahan-bahan tersebut atau tidak mengeluarkan bahan tersebut. Contohnya, Malaysia pengeluar minyak kelapa sawit terbesar di dunia tetapi pengeluar minyak sayuran yang lain (minyak kacang soya, jagung dan bunga matahari) cuba menyekat kemasukan minyak kelapa sawit ke negara-negara pengeluar masing-masing.

5.      Meningkatkan kualiti kemahiran pekerja kepada ekonomi teknologi baru.

Setiap negara dunia perlu meningkatkan kemahiran pekerja-pekerja masing-masing yang disesuaikan mengikut industri negara masing-masing. Di Malaysia, kita memerlukan lebih ramai pekerja dalam bidang sains dan penyelidikan yang mana boleh meningkatkan penggunaan sesuatu komoditi ke tahap yang lebih tinggi. Contohnya, MARDI telah diwujudkan untuk memajukan sektor pertanian, manakala PORIM telah diwujudkan untuk meningkatkan penggunaan minyak kelapa sawit. Dengan menggunakan kaedah sains dan penyelidikan, Malaysia telah dapat mengeluarkan kuantiti kelapa sawit yang lebih tinggi dalam hektar tanah, jika dibandingkan dengan  pengeluaran sawit satu hektar tanah di Indonesia dan negara-negara lain. Ini bermakna jika setiap negara menggunakan sains dan penyelidikan untuk meningkatkan pengeluaran pertanian negara masing-masing, ekonomi dunia akan berkembang.

6.      Mengelakkan blok-blok dunia.

Pada ketika ini, Amerika Syarikat adalah negara kuasa dunia. Mana-mana negara yang boleh mengancam status Amerika sebagai kuasa dunia akan disekat dengan menggunakan pelbagai kaedah, sama ada kaedah ekonomi ataupun kaedah militari. Contohnya, negara China telah berkembang pesat yang dijangkakan pada tahun 2030, China akan mengatasi Amerika Syarikat sebagai negara termaju di dunia. Amerika Syarikat telah menggunakan kaedah TPPA dan menggunakan pengaruhnya untuk membentuk Blok Pro-Amerika seperti Jepun, Korea Selatan, Filipina, Australia dan Singapura sebagai blok pengimbang untuk mengekang kuasa China di rantau Asia. Bagi mengelakkan kejatuhan ekonomi dunia, blok-blok ini mestilah dihapuskan dan hanya mengguna pakai saluran PBB untuk menyelesaikan masalah.

7.      Negara Islam perlu bersatu menyelesaikan konflik Israel-Palestin.

Masalah Israel-Palestin telah menyebabkan wujudnya pelbagai pertubuhan pengganas yang menggunakan kaedah kekerasan atas alasan konflik Israel-Palestin ke atas negara-negara yang menyokong Israel, seperti Al-Qaeda yang telah menyerang World Trade Center dan Pentagon pada September 11, 2001. Seterusnya, pertubuhan Taliban di Afghanistan dan Islamic State (IS) di Jordan, Syria dan utara Iraq. Kaedah menggunakan jihad yang salah terutamanya menggunakan suicidal bombers telah menyebabkan meningkatkan Islamophobia. Pada masa yang terdekat ini, telah berlaku letupan bom seperti di Paris, di Brussels, di Turki, dan di Pakistan. Pada jangka masa panjang, boleh menyebabkan wujudnya blok-blok baru yang akan menganggu keharmonian dunia sejagat yang dipisahkan atas nama bangsa dan agama. Sekarang, telah adanya pemimpin dunia seperti Donald Trump yang berjanji akan menghalang kedatangan orang Islam ke Amerika jika dia terpilih sebagai Presiden Amerika Syarikat.

8.      Penggunaan mata wang dinar emas atau Euro atau Yuan Renminbi sebagai mata wang pilihan perdagangan.

Pada ketika ini, urus niaga antarabangsa menggunakan dolar Amerika (USD) sebagai mata wang tunggal antarabangsa dalam bidang perdagangan. Mata wang Amerika tidak disandarkan dengan emas. Amerika menjadi kuasa dunia kerana mata wangnya diguna pakai sebagai mata wang dunia. Oleh itu, untuk mengelakkan monopoli Amerika, mata-mata wang lain boleh diguna pakai. Ini bermakna, bagi mengelakkan kejatuhan ekonomi dunia, masyarakat dunia boleh menggunakan mata wang lain sebagai mata wang perdagangan antarabangsa.
9.      Negara-negara Islam perlu bergabung membantu ekonomi negara-negara Islam yang lain.

Banyak negara-negara Islam yang telah diberikan kekayaan sumber alam oleh Allah S.W.T. seperti minyak. Hasil minyak ini telah menjadikan beberapa negara Islam seperti Arab Saudi, Qatar, UAE dan Brunei Darussalam menjadi negara yang kaya-raya. Terdapat juga negara-negara Islam yang amat miskin seperti Sudan, Chad dan Nigeria. Jika negara-negara Islam yang kaya membantu ekonomi negara-negara Islam yang lain, ini boleh merancakkan dan meningkatkan ekonomi dunia.

10.  Menguatkan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB/UN).

Bangsa-bangsa Bersatu perlu dirombak semula dan memansuhkan kuasa-kuasa veto dari negara-negara yang dikatakan memenangi Perang Dunia Kedua atau nama kuasa-kuasa besar. Konflik peperangan yang berlaku kebanyakannya menggunakan Amerika Syarikat sebagai kuasa ketenteraan atau bertindak sebagai polis dunia. Ketenteraman sejagat yang menghormati hak setiap negara anggota Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu perlulah ditekankan bagi mengelakkan konflik peperangan, kerana peperangan boleh menyebabkan kejatuhan ekonomi dunia.

***********************************************************************************************

RUJUKAN


No comments: