Sunday, 27 March 2016

JURNAL HARIAN TUGASAN BM Bil. 1/2016 : BERCUTI DI LANGKAWI - POST 1

Saya ingin menulis jurnal mengenai perjalanan saya dan keluarga bercuti. Ini adalah lawatan kali ke -5 ke Pulau Langkawi.  Sebaik saja cuti bermula, pada malam yang pertama, kami bertolak ke Langkawi. Inilah pengalaman pertama kami menggunakan perkhidmatan bas ekspres untuk ke Kuala Perlis. Kami sekeluarga menaiki teksi ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di Bandar Tasik Selatan. Walaupun perjalanan tidak jauh dari rumah, tetapi tambang teksi yang dikenakan agak mahal kerana menempuh kesesakan jalan raya. 



Jumlah yang dikenakan adalah RM25. Keadaan di TBS amat sesak memandangkan pada malam tersebut, bermulanya cuti sekolah. Semasa kami sekeluarga makan malam di sebuah restoran di Tingkat 2 di TBS, saya terserempak dengan beberapa pelajar Tahap 2 yang menunggu bas masing-masing untuk pulang ke kampung. Suasana di bahagian berlepas di TBS adalah seperti di lapangan terbang antarabangsa KLIA. Kami telah membeli tiket bas ke Kuala Perlis dengan menaiki bas Mayang Sari. Bas tiba agak lewat, iaitu pada jam 11.15 malam. Sepatutnya, bas bertolak pada jam 10.30 malam.


Kami menghabiskan masa di awal perjalanan dengan bermain (gadget) sehinggalah tertidur, dan kemudiannya kami terbangun apabila sampai di Butterworth untuk ke tandas dan menunaikan solat Subuh. Kami sampai ke Kuala Perlis pada jam 8.00 pagi. Perjalanan dari Kedah ke Kuala Perlis di waktu pagi amat menyegarkan, terutama melihat sawah padi yang luas terbentang, dan masyarakat kampung pulang dari solat Subuh. Oh, begitu mendamaikan! Oleh kerana inilah pengalaman pertama sampai ke jeti Kuala Perlis, kami tercari-cari arah ke jeti untuk membeli tiket feri ke Pulau Langkawi. Kami hanya mendapat tiket feri untuk jadual bertolak jam 12.30 tengah hari. Kami menghabiskan masa selama tiga jam dengan mengambil sarapan di sebuah restoran yang berdekatan, dan menunggu di jeti dalam keadaan yang membosankan.






Keadaan laut yang tenang telah mempercepatkan perjalanan feri dari Kuala Perlis ke Langkawi. Sebaik sahaja sampai di jeti di Langkawi, sepupu kepada ibu saya, iaitu Pak Su Amin, telah sedia menunggu di kawasan luar jeti. Kami dibawa ke hotel yang telah ditempah dari awal, iaitu di Baron D'Hotel, Kuah. Selesainya pendaftaran dan memunggah barang di bilik, kami dibawa menikmati makan tengah hari di sebuah restoran di Pokok Asam. Selepas menjamu selera, kami dibawa oleh Pak Su Amin berjalan-jalan mengelilingi Langkawi. Kami kemudiannya menikmati ABC Kelapa di kawasan tepi pantai sambil menikmati angin-angin sepoi. Sebelum balik ke hotel, kami membeli coklat di Haji Ismail Group. Kemudiannya, Pak Su Amin menghantar kami ke hotel semula.



Pada malam itu, kami hanya berehat di hotel, kerana kami kepenatan disebabkan oleh perjalanan yang panjang ke Langkawi.

No comments: