Tuesday, 17 March 2015

Aktiviti Diriku - Lawatan ke Muzium Pangkor

AHAD - 15/3/2015 - LAWATAN KE MUZIUM PANGKOR

Banyak yang aku pelajari dari lawatan ke Muzium Pangkor.  Selama ini, aku hanya membaca dari buku-buku sejarah tentang Perjanjian Pangkor ini.  Ayah telah mengunakan kemahiran undang-undang mengaitkan isi kandung Perjanjian ini kepada perkara-perkara berikut:-

1. Bermula era penjajahan Inggeris secara langsung ke atas Negeri-negeri di Tanah Melayu yang berdaulat tetapi di bawah kawal selia Inggeris kecuali Inggeris tidak boleh mencampuri urusan tentang agama islam dan adat istiadat Melayu;

2. Inggreris telah mebawa masuk banyak syarikat-syarikat untuk meneroka ladang-ladang seperti yang kita lihat hari ini seperti Harrison Crossfield, Guthrie dan sebagainya;

3. Inggeris telah mengambil urusan mengutip hasil dari pembesar-pembesar Melayu dan Sultan Melayu dibayar elaun bulanan tetap; ini telah menimbulkan perasaan tidak puas hati pembesar-pembesar Melayu yang kehilangan kuasa dan pendapatan dan meyebabkan berlaku penentangan kepada Inggeris contohnya Datuk Maharajalela telah mengupah orang bawahannya membunuh JW Birch di Pasir Salak.

4. Inggeris gagal mengambil kawalan lombong bijih timah dari kumpulan Gee Hin dan Hai San tetapi dapat mengawal pergaduhan antara kedua kumpulan dari berebut menguasai kawasan lombong; Kutipan cukai perlombongan dibayar secara terus kepada Inggeris sebagai hasil negeri dan dengan itu Inggreis dapat bekalan bijih timah secara berterusan untuk menampung permintaan revolusi Perindustrian di Eropah.

5. Kuasa sultan sebagai ketua agama islam dan menjaga adat-istiadat Melayu diteruskan dan diterapkan dalam Perlembagaan Persekutuan Jadual Ke-9 terpakai sehingga ke hari ini.

 
 

KANDUNGAN PERJANJIAN PANGKOR 20 JANUARI 1974

“Bahawasanya keadaan huru-hara sedang berlaku dalam Kerajaan Perak disebabkan oleh ketiadaan pemerintah yang tetap di Negeri itu dan tidak wujud kuasa yang berkesan untuk melindungi rakyat dan untuk menjamin hasil usaha mereka, dan,

Bahawasanya sebilangan besar orang China yang diupah dan sejumlah besar wang yang dilaburkan dalam perusahaan bijih timah di Perak oleh rakyat British dan lain-lain yang bermastautin dalam Tanah Jajahan Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen, dan lombong serta harta tersebut tidak dilindungi secukupnya, dan kegiatan lanun, pembunuhan, pembakaran sengaja berlaku dengan berleluasa di negeri tersebut, dan ini menyebabkan perdagangan dan kepentingan British terjejas teruk dan keamanan serta ketenteraman Petempatan British yang berjiranan dengannya kadang-kadang turut terancam, dan,


Bahawasanya sesetengah Pembesar semasa Kerajaan Perak telah menyatakan ketakmampuan mereka mengawal kacau bilau yang melanda sekarang ini, dan bersama-sama dengan mereka yang berkepentingan dalam perusahaan negeri ini telah memohon bantuan, dan,



                                   Pembesar-pembesar yang hadir semasa perjanjian Pangkor

Bahawasanya Kerajaan Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen terikat oleh Syarat Persetiaan bagi melindungi Kerajaan tersebut dan membantu pemerintahnya, maka dengan ini,


                                                              Sir Andrew Clarke

Tuan Yang Terutama Sir Andrew Clarke, K.C.M.G. C.B., Gabenor Tanah Jajahan Negeri-Negeri Selat, sebagai mematuhi permintaan tersebut, dan dengan tujuan membantu pemerintah tersebut dan bagi mewujudkan penyelesaian yang berkekalan terhadap masalah di Perak, telah mencadangkan Perkara perkiraan yang berikut sebagai yang boleh mendatangkan manfaat bersama kepada Pemerintah Bebas Negeri Perak, rakyatnya, rakyat Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen dan orang lain yang bermastautin atau yang berdagang di Negeri Perak, iaitu:-


1. Pertama. –

Bahawa Raja Muda Abdulah diiktiraf sebagai Sultan Perak.

 
Sultan Abdullah


2. Kedua –

Bahawa Raja Bendahara Ismail, yang sekarang ini menjadi Pemangku Sultan, dibenar mengekalkan gelaran Sultan Muda dengan diberi pencen dan sebuah Wilayah kecil diserahkan hak kepadanya.

3. Ketiga –

Bahawa segala perlantikan Pegawai-pegawai besar lain yang dibuat masa Raja Bendahara Ismail menerima alat kebesaran diraja hendaklah disahkan.

4. Keempat –

Bahawa kuasa yang diberikan kepada Orang Kaya Menteri keatas Larut oleh Al-Marhum Sultan hendaklah disahkan.

5. Kelima –

Bahawa semua hasil negeri hendaklah dikutip dan semua perlantikan hendaklah dibuat atas nama Sultan.

6. Keenam –

Bahawa Sultan menerima dan menyediakan sebuah kediaman yang sesuai untuk seorang Pegawai British yang dinamakan Residen, yang akan ditauliahkan ke istana Baginda, dan nasihatnya mestilah diminta dan diambil tindakan atas semua persoalan selain yang menyentuh agama Islam dan adat istiadat orang Melayu.

7. Ketujuh –

Seorang Penolong Residen, iaitu seorang Pegawai British yang bertindak dibawah Residen Perak, dengan kuasa yang serupa dan tertakluk hanya kepada Residen tersebut hendaklah ditempatkan di istana Gabenor Larut.

8. Kelapan –

Bahawa pembiayaan untuk Residen-Residen ini dan Perjawatan mereka hendaklah ditentukan oleh Kerajaan Negeri-Negeri Selat dan menjadi tanggungjawab pertama daripada hasil Negeri Perak.

9. Kesembilan –

Bahawa peruntukan diraja yang mengawal selia pendapatan yang akan diterima oleh Sultan, Bendahara, Menteri, dan Pegawai lain hendaklah menjadi tanggungan seterusnya daripada hasil tersebut.

10. Kesepuluh –

Bahawa pemungutan dan pengawalan segala hasil dan pentadbiran am negeri dikawal selia dibawah nasihat Residen-residen ini.

11. Kesebelas –

Bahawa Persetiaan dimana Pulau Dinding dan pulau-pulau Pangkor telah diserahkan kepada Great Britain telah tersalah faham, dan dengan yang demikian, maka perlulah diselaraskan semula supaya dapat dikuatkuasakan tujuan sebenar para penggubal Persetiaan itu, dan dengan ini maka diisytiharkan bahawa sempadan wilayah yang diserahkan itu hendaklah diperbetulkan seperti berikut: Dari Bukit Segari, seperti yang tertera dalam Lembaran Carta No. 1 Selat Melaka, yang salinannya dilampirkan, dengan bertanda A, merentas lurus hingga kelaut, kemudiannya di sepanjang [antai laut ke selatan, ke Pulau Katta di sebelah Barat, dan dari Pulau Katta merentang ketimur laut kira-kira sepanjang lima batu, dan kemudiannya ke utara, iaitu ke Bukit Segari.

12. Kedua belas –

Bahawa legih selatan Sungai Krian, iaitu bahagian kawasan yang salirannya masuk ke sungai itu dari selatan diisytiharkan sebagai Wilayah British, sebagai membetulkan Sempadan Province Wellesley (Seberang Perai). Sempadan itu hendaklah ditandakan oleh Pesuruhjaya, seorang yang dinamakan oleh Kerajaan Negeri-Negeri Selat, dan seorang lagi dinamakan oleh Sultan Perak.

13. Ketiga belas –

Bahawa apabila keadaan kacau-bilau sekarang ini sudah terhenti di Negeri Perak dan keamanan dan ketenteraman telah kembali pulih dalam kalangan puak-puak yang berbalah di Negeri itu, maka langkah-langkah segara dibawah kawalan dan seliaan seorang atau lebih daripada seorang Pegawai British hendaklah dilaksanakan bagi memulihkan sejauh mana yang boleh dilakukan kerja-kerja perlombongan dan pemilikan alat jentera, dll., seperti keadaan sebelum berlaku kacau-bilau, serta bagi menguruskan pembayaran pampasan kerana kerosakan, dan keputusan pegawai atau pegawai-pegawai itu dalam hal sedemikian adalah muktamad.

 
Ketua Kongsi Gelap Hai San

 
Ketua Kongsi Gelap Gee Hin

14. Keempat belas –

Menteri Larut berjanji mengaku sebagai hutangnya kepada Kerajaan Negeri-Negeri Selat untuk segala caj dan perbelanjaan yang ditanggung atas penyiasatan ini, dan juga atas caj dan perbelanjaan yang ditanggung oleh Tanah Jajahan Negeri-Negeri Selat dan Great Britain dalam usaha mereka bagi mewujudkan ketenteraan di Negeri Perak dan keselamatan perdagangan.

Perkara diatas telah dibaca dan telah dijelaskan kepada mereka yang berkenaan yang telah memahami perkara-perkara itu dan masing-masing bersetuju dan menerimanya sebagai mengikat diri mereka dan Waris serta Pengganti mereka.

Perjanjian ini dibuat dan diikat di Pulau Pangkor dalam Tanah Jajahan British pada dua puluh hari bulan Januari tahun Masihi satu ribu lapan ratus tujuh puluh empat.


Disempurnakan di hadapan saya

ANDREW CLARKE, Gabenor, Panglima Besar dan Laksamana Madya Negeri-Negeri Selat”

                              Lampu yang menerangi kapal semasa Perjanjian Pangkor ditandatangani

 
                                          Meja yang digunakan semasa Perjanjian pangkor
____________________________________________________________________


Cap Mohor Sultan Perak

Cap Mohor Bendahara Perak

Cap Mohor Temenggung Perak

Cap Mohor Menteri Perak

Cap Mohor Syahbandar Perak

Cap Mohor Raja Mahkota Perak

Cap Mohor Laksamana Perak

Cap Mohor Dato’ Sagor

No comments: