Sunday, 28 August 2016

PERMATA pintar pusat pelajar genius

PERMATA pintar pusat pelajar genius 
Oleh Mona Ahmad mona@bh.com.my 

PELAJAR Pusat PERMATApintar didedahkan kepada pemahaman dan menganalisis sesuatu subjek. - Foto Kamarulzaman Ariffin DITAWARKAN menyambung pengajian di universiti terkemuka dunia seperti Universiti Cambridge, United Kingdom dan Universiti Boston, Amerika Syarikat pada usia mencecah 15 tahun mungkin agak mustahil, terutama bagi pelajar menengah di sekolah biasa. Bagaimanapun, perkara itu tidak sukar bagi pelajar pintar yang terpilih dari seluruh negara menerusi sistem pembelajaran di Pusat PERMATApintar Negara (PERMATApintar), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Berbeza dengan sistem pendidikan menengah biasa, subjek seperti robotik, kriptologi, bioteknologi, astrofizik, sains penerbangan, lokasi penyiasatan jenayah, pengenalan kepada penyakit, kebarangkalian dan teori permainan, matematik untuk alam semesta dan fizik tambahan, adalah antara mata pelajaran yang diperkenalkan di PERMATApintar. Mencari pelajar pintar atau genius bukan perkara mudah. 

Kajian Barat menunjukkan sekurang-kurangnya ada seorang kanak-kanak berbakat dan pintar bagi setiap 10,000 kanak-kanak. Di negara ini, dengan kira-kira 3.5 juta kanak-kanak berusia antara sembilan hingga 15 tahun, secara teorinya dianggarkan ada kira-kira 350,000 kanak-kanak berbakat dan pintar di negara ini. Sistem pendidikan formal ketika ini mampu memenuhi keperluan kebanyakan pelajar, tetapi ia tidak semestinya mampu memenuhi keperluan mereka yang pintar. Akhirnya ada dalam kalangan pelajar ini yang tidak mampu mencatat keputusan cemerlang dalam peperiksaan persekolahan, lebih malang ada juga yang keciciran dalam pelajaran. PUSAT PERMATApintar Negara di UKM, Bangi. Dilancarkan sejak tahun 2009 Program PERMATApintar diilhamkan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, dibangunkan dengan kerjasama UKM, yang diberi mandat untuk membangun, melaksana dan memantau pelaksanaan program yang dilancarkan pada tahun 2009. 


Pengarah Pusat PERMATApintar, Prof Datuk Dr Noriah Mohd Ishak, berkata program itu dimulakan dengan program kem cuti sekolah. "Saya masih ingat pada tahun 2008, kami masuk kampung dan kawasan pedalaman untuk mencari pelajar genius. Selepas itu, kami mewujudkan sistem ujian secara tiga peringkat untuk memilih pelajar yang benar-benar pintar secara dalam talian dan peperiksaan di lokasi yang ditetapkan. "Mengikut kajian kepintaran atau genius individu, sebanyak 32 hingga 58 peratus diperoleh menerusi genetik, selebihnya daripada persekitaran termasuk pemakanan dan pembelajaran," katanya. Hampir semua negara jiran sudah lama mempunyai sekolah untuk pelajar pintar. Di Thailand misalnya, Sekolah Mahidol Wittayanusorn, Thailand, khusus untuk pelajar pintar sains dan matematik yang dibina dengan kerjasama Universiti Mahidol dan sudah beroperasi sejak 25 tahun lalu. Di Vietnam, ada 32 sekolah pintar, termasuk Sekolah Tinggi VNU-HCM yang ditubuhkan dengan kerjasama Vietnam National University sejak tahun 1996. Disebabkan sekolah seumpama ini kali pertama dibangun dan dibina di negara ini, Dr Noriah sendiri sanggup berkorban melanjutkan pengajian dalam Diploma Lanjutan Perguruan di Universiti New South Wales pada tahun 2010 untuk mendalami cara latihan dan pengajaran pelajar pintar dan beliau kembali untuk turut melatih guru sekolah itu. 

"Antara cabaran mewujudkan sekolah pintar ini adalah untuk membina kurikulum baharu yang belum ada di negara ini. Justeru, kajian dilakukan terhadap kurikulum pendidikan dunia sedia ada termasuk Cambridge ICGSE, International Baccalaureate (IB), Advance Placement Amerika Syarikat, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan National Gifted School di Singapura," katanya. Di sini, katanya, pelajar turut didedahkan dengan proses pembelajaran global, termasuk menyertai pertandingan dan bengkel di luar negara. "Kita mahu masyarakat tahu yang pelajar genius ini bukannya pelajar cemerlang yang mendapat semua A dalam subjek yang diambil. Bagi pelajar pintar ini, mereka lebih cenderung kepada pemahaman dan menganalisis sesuatu subjek," katanya. Katanya, hampir 50 peratus pelajar di pusat ini adalah anak orang kampung dan keluarga miskin serta berpendapatan rendah. "Kami ada pelajar pintar dari Bario dan Lubok Antu, Sarawak. Ada seorang pelajar yang kami terpaksa belikan tiket penerbangan dan beri ibu bapa beliau wang saku kerana tidak mampu menghantar anak ke lapangan terbang untuk ke sini. Pelajar itu sampai sini hanya memakai selipar jepun tetapi kini berjaya melanjutkan pengajian ke luar negara," katanya. PELAJAR dipimpin guru terlatih dan berpengalaman. 


Bantu pelajar susah Katanya, ada seorang pelajar dari Tawau yang ibunya pada peringkat awal terpaksa menolak tawaran untuk anaknya ke pusat ini kerana tiada wang. Tetapi akhirnya membenarkan anaknya melanjutkan pelajaran selepas pihaknya membantu membayarkan tambang bas ke bandar Tawau dan tiket ke Kuala Lumpur. "Ibu bapa terutama dari pedalaman dan luar bandar tidak menolak untuk membenarkan anak mereka melanjutkan pengajian kerana tahu dengan pendidikan dapat mengeluarkan keluarga mereka daripada kemiskinan," katanya yang turut mempunyai pelajar autisme genius dan kini menunggu untuk memasuki UKM bagi program Ijazah Sarjana Muda Sains Politik. Sehingga kini, seramai 366 pelajar sudah berjaya menamatkan pengajian di PERMATApintar dan berada di menara gading di dalam dan luar negara pada usia masih muda. Kos perbelanjaan seorang pelajar mencecah RM45,000 setahun dan ibu bapa hanya membayar RM1,500. Tetapi bagi pelajar yang tidak mampu, Yayasan Permata akan menawarkan biasiswa.

No comments: