Friday, 12 February 2016

Karangan Pengubahsuaian Bajet 2016


Karangan Pengubahsuaian Bajet 2016

Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Kewangan telah membentangkan pengubahsuaian Bajet 2016.  Pengubahsuaian Bajet ini dilakukan kerana terdapat perubahan ekonomi global yang dijangka berkembang dengan perlahan. Tambahan pula, hal ini diburukkan dengan penurunan harga minyak dunia yang menyebabkan unjuran pendapatan negara menurun.  Pengubahsuaian ini amat diperlukan bagi memastikan pertumbuhan ekonomi Malaysia terus kukuh serta bagi menjaga dan memelihara kebajikan dan kesejahteraan rakyat.  Pihak IMF juga telah meramalkan bahawa pertumbuhan ekonomi global akan perlahan dari 3.6% ke 3.4%.  Perdagangan dunia juga dijangka menyusut dari 4.3% hingga 3.4%.  Ini diburukkan lagi dengan pertumbuhan ekonomi perlahan di negara-negara besar, seperti China, Amerika Syarikat, India, dan Afrika Selatan. Semua ini memberi kesan kepada pendapatan dan ekonomi negara.

Negara Malaysia telah mengalami masalah krisis ekonomi beberapa kali, iaitu krisis kewangan Asia pada 1997 – 1998.  Kegawatan ekonomi pada ketika itu telah menyebabkan rizab antarabangsa menyusut sebanyak RM59 billion, dan pasaran saham KLSE jatuh ke paras 260.  Kesan yang besar kepada kegawatan ekonomi pada ketika itu adalah pemberhentian pekerja yang mendadak dan kadar inflasi yang meningkat.  Kaedah yang digunakan oleh kerajaan pada ketika itu adalah, dengan membuat pengawalan modal, serta mata wang ringgit ditambatkan pada RM3.80 kepada USD1.00.  Kerajaan juga telah membuat penstrukturan semula dengan menubuhkan Danaharta dan Danamodal dan menyuntik rangsangan ekonomi sebanyak RM7 billion.

Krisis seterusnya berlaku pada tahun 2008 – 2009, yang mana berlakunya ‘subprime crisis’ di Amerika Syarikat.  Masalah bertambah buruk apabila minyak dunia telah meningkat kepada USD130 setong.  Kesan daripada krisis tersebut menyebabkan ekspot negara menyusut 15% dan pendapatan negara menurun dengan drastik.  Kerajaan telah merangsangkan ekonomi dengan menyuntik dana sebanyak RM7 billion bagi peringkat pertama dan rangsangan kedua sebanyak RM60 billion.  Kerajaan juga telah melaksanakan Dasar Transformasi Negara.

YAB Dato’ Seri Najib Razak, bercadang untuk mengambil beberapa langkah penyelesaian.  Langkah pertama adalah dengan mengurangkan kadar potongan caruman KWSP sebanyak 3% yang mana akan dapat meningkatkan perbelanjaan penggunaan swasta sebanyak RM8 billion setahun.  Pelepasan cukai juga akan diberi sebanyak RM2 ribu kepada pembayar cukai individu yang berpendapatan RM8 ribu sebulan dan ke bawah, untuk tahun taksiran 2015 sahaja. Kerajaan juga akan mengurangkan kos harga barang dengan meliberalisasikan kawalan kuota impot, bagi lapan produk pertanian, termasuk biji kopi mentah, daging kerbau, lembu dan kambing. Pihak FAMA pula diarahkan untuk membuka pasar belian terus hasil pertanian melalui MyFarm Outlet.  Manakala, KPDNKK diarahkan untuk tingkatkan jumlah kedai harga patut dan mempertingkatkan penguatkuasaan.  Kerajaan  bercadang untuk menyediakan tambahan tunai sebanyak RM50 kepada pesawah bagi setiap satu tan metrik padi bersih.  Seterusnya, program MyBeras kepada keluarga miskin tegar akan dibekalkan 20 kg beras setiap bulan.

Bagi projek perumahan baru,  rumah yang berharga RM300 ribu, akan dihadkan kepada pembeli rumah pertama sahaja.  Manakala, sumbangan 30% Levi HRDF berjumlah RM200 juta akan disediakan untuk meningkatkan kompetensi dan kemahiran pekerja melalui inisiatif ‘reskill’ dan ‘upskill’.  Agensi-agensi mengutip cukai dan pendapatan kerajaan diarahkan untuk meningkatkan kecekapan kutipan hasil mereka.  Usaha untuk menggandakan pematuhan dan pengauditan pengelak cukai akan diperketatkan.  Kerajaan bercadang untuk melonggarkan pengenaan penalti kepada pengelak cukai bagi tahun kewangan 2015.  Pulau Bebas Cukai juga akan dikurangkan ketirisannya, dengan memberi pengecualian cukai kenderaan impot di Pulau Bebas Cukai.  Dalam bidang telekomunikasi, kerajaan akan mengoptimumkan pendapatan spektrum telekomunikasi.  Tambahan lagi, kerajaan juga akan membangunkan kawasan strategik milik Kerajaan.  Manakala, sistem pengambilan pekerja asing akan diperkemaskan dengan kadar levi diklusterkan kepada dua kategori, iaitu penggajian dan penempatan semula PATI.

Kerajaan mengarahkan semua agensi kerajaan dan GLC melaksanakan perbelanjaan berhemah.  Seterusnya, dana pembiayaan sebanyak RM6 billion bagi pelaburan langsung dana model teroka akan ditambah.  Manakala, perbelanjaan pembangunan hanya difokuskan kepada projek yang mendahulukan kepentingan rakyat dan memberi kesan penggandaan tinggi.  Jurang pendapatan antara pengurusan atasan dan golongan pekerja akan dikurangkan.  Selain dari itu, kerajaan akan memberi penumpuan sektor pelancongan dengan membuat promosi kepada pelancongan domestik.  Kemudahan kemasukan pelancong asing dipermudahkan dengan memperkenalkan eVisa, yang mana pelancong-pelancong dari negara China akan diberi Visa Free dengan syarat tempoh berada di Malaysia tidak melebihi 15 hari lawatan sahaja.

Walaupun negara Malaysia mengalami kegawatan ekonomi, program pemberian BR1M akan diteruskan. Kerajan akan mengekalkan kadar GST sedia ada dan mengamalkan perbelanjaan berhemah yang mengutamakan projek berimpak tinggi.  Kerajaan akan terus menaja biasiswa JPA dengan meneruskan Program Biasiswa Nasional bagi 20 pelajar terbaik SPM ke Universiti ‘Ivy League’. Seterusnya, Program Khas Kejuruteraan akan menaja 200 pelajar untuk belajar ke Jepun, Korea, Jerman dan Perancis. Manakala, Program Lepasan Bursary akan menaja 744 pelajar di peringkat Ijazah Pertama di Universiti Awam atau Swasta. Tambahan kepada itu, akan diadakan pengambilan 8 ribu pelajar untuk Biasiswa Ijazah Pertama Dalam Negara serta peruntukan PTPTN sebanyak RM5 billion akan diteruskan.  Program MyBrain15, Skim Latihan Akademik Bumiputera dan Skim Latihan Akademik IPTA akan terus diberikan peruntukan.

Kerajaan akan menyemak semula unjuran pertumbahan KDNK negara bagi 2016 kepada 4% hingga 4.5% sahaja. Seterusnya, bagi mengekalkan pertumbuhan ekonomi negara berdaya saing, langkah-langkah konsolidasi fiskal 2016 akan disasarkan untuk mencapai sasaran 3.1% kepada KDNK negara. Manakala, kadar hutang negara akan dikurangkan bagi memastikan ianya tidak melebihi paras 55% KDNK negara.  Kerajaan tidak bercadang untuk mengenakan kawalan modal atau penambatan ringgit seperti krisis 1997 – 1998.

Bagi memastikan sistem kewangan negara mempunyai kecairan yang mencukupi, kerajaan akan mengarahkan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit di bawah Bank Negara Malaysia memberi bantuan kepada peminjam yang mengalami kesukaran. Kerajaan akan melancarkan Skim Penyelesaian Pinjaman Kecil dan menubuhkan Jawatankuasa Penyusunan Semula Hutang Korporat.  Kerajaan telah mensasarkan pelaburan swasta sebanyak RM215 billion, dan menghubungkan perhubungan strategik antara bandar dan luar bandar. Kerajaan juga akan memberi bantuan kepada syarikat swasta untuk menembusi pasaran antarabangsa melalui agensi MATRADE dan SME Corp, melalui Program Go-Export. Bagi meluaskan pasaran produk buatan Malaysia, kerajaan akan meneroka pasaran baru melalui Asian Economic Community, Trans-Pacific Partnership Agreement dan Regional Comprehensive Economic Partnership.

Secara ringkasnya, YAB Perdana Menteri Malaysia telah membentangkan pengubahsuaian Bajet 2016 dengan menekankan kepada lima perkara penting, iaitu langkah prioritif bagi menempuh cabaran ekonomi semasa bagi membolehkan ekonomi negara masih utuh, tumbuh dan berdaya tahan.  Kerajaan juga akan memastikan semua projek yang dilaksanakan akan memberi kesejahteraan kepada rakyat dan mendahulukan rakyat. Pihak kerajaan amat komited bagi melaksanakan konsolidasi fiskal yang bertunjangkan kepada prinsip ‘shared responsibility’.

No comments: