PETIKAN TITAH UCAPAN DYMM SULTAN IBRAHIM IBNI ALMARHUM SULTAN ISKANDAR SEMPENA HARI ULANGTAHUN REJIMEN GERAK KHAS YANG KE-50
1. Istilah Bangsa Johor bukanlah perkara yang baru. Almarhum nenda saya, Sultan Ibrahim, telah melihat jauh kehadapan yang perpaduan masyarakat di negeri Johor ini perlu dibentuk di bawah satu Bangsa Johor.
Malah sejak dahulu lagi, lagu bagi Negeri Johor telah dinamakan sebagai “Lagu Bangsa Johor”. Oleh itu, kepada orang luar yang tidak tahu sejarah Johor, Saya nasihatkan supaya jangan masuk campur dalam urusan orang Johor.
Saya berharap rakyat bangsa Johor yang berbilang agama dan keturunan akan hidup harmoni dan bersatu padu demi untuk kemakmuran dan keamanan Negeri Johor Darul Ta'zim.
2. Saya amat peka dengan rintihan dan keluhan suara hati rakyat saya. Suasana politik dan ekonomi negara yang berada dalam keadaan yang tidak stabil pada masa ini merupakan isu utama yang perlu ditangani oleh kerajaan dengan segera.
Sememangnya kedudukan saya sebagai Raja tidak boleh mencampuri urusan politik, tetapi sebagai Raja saya bertanggungjawab untuk memastikan suasana kehidupan rakyat di negeri saya berada dalam keadaan yang baik, maju dan makmur.
Oleh itu saya mengesa kepada pihak kerajaan yang memerintah supaya segera menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi sekarang ini, antaranya mengenai kejatuhan nilai ringgit yang amat teruk.
3. Suka juga saya ingatkan kepada pemimpin pemimpin kerajaan yang telah dipilih oleh rakyat supaya memikul tanggungjawab dengan penuh amanah untuk kepentingan umum dan janganlah mengutamakan kepentingan peribadi.
Rakyat pada hari ini adalah generasi yang berilmu dan bijak menilai maklumat yang diterima, janganlah cuba memperbodohkan rakyat dengan memberikan berita dan maklumat yang hanya sedap untuk didengar bagi menutup keadaan sebenar. Selesaikanlah masalah masalah yang timbul dengan segera.
There are wolves that lead sheep, then there are wolves that lead wolves.
No comments:
Post a Comment