Dua-puluh Mei 2001, hari yang bermakna kepada ibubapa
ku. Tarikh keramat itu di mana ibu dan bapaku melangsungkan perkahwinan. Satu tahun
dari tarikh tersebut, iaitu pada tanggal lapan-belas Jun 2002, lahirlah diriku ke
dunia. Aku diberitahu oleh ibu bahawa aku dilahirkan dengan cara pembedahan caesarian. Selama dua hari, ibuku kesakitan
untuk melahirkanku. Akhirnya aku tidak dilahirkan dengan cara normal disebabkan
pusatku terbelit di leher dan ukuran kepalaku besar yang tidak boleh dilahirkan
dengan cara normal.
Aku diberitahu oleh ibu bahawa ibu kesakitan di
bilik bersalin dari jam 10.00 pagi hingga 6.40 petang. Doktor yang menyambut kelahiranku
memberitahu ibu bahawa ibu terpaksa dibedah untuk mengeluarkanku. Beliau menunggu
hingga selepas waktu Maghrib untuk membedah ibu. Aku keluar ke dunia jam 7.46
malam pada hari Selasa, 18 Jun 2002.
Ibu memberitahu air matanya menitis berlinangan membasahi
pipi apabila mendengar suaraku menangis dan doktor meletakkan aku buat seketika
di dada ibuku. Setelah aku dibersihkan beratku ditimbang seberat 3.64 kg. Aku diberitahu
bapa saudaraku, Tuan Haji Ab Halim bin Haji Kudin atau aku panggil Pak Ngah telah
mengazan dan mentahnitkan kurma Nabi dan air Zamzam ke mulut. Pak Ngah akhirnya
menjadi guru agamaku dan mengajarku tajwid dan menkhatamkan Quran. Hatiku sedih
dan hiba apabila mengenang jasa Pak Ngah. Beliau telah kembali ke ramahtullah pada
bulan Februari 2013. Al-Fatihah kuberi kepada rohnya. Ibu memberitahu uriku ditanam
di hadapan rumah Pak Ngah. Pak Ngah dan Atuk Abah yang menyempurnakannya. Mereka
menanamkan harapan bahawa aku membesar menjadi anak yang solleh, bijak dan sentiasa
taat kepada Allah s.w.t, ibu bapa dan guru-guru.
Seterusnya, aku diazankan oleh ayahku dan akhirnya
datukku. Ibuku memberitahu semasa aku seorang bayi, aku kuat minum susu ibu.
Aku minum susu ibu sehingga sebelas bulan sepenuhnya. Oleh kerana aku anak dan cucu
sulung dalam keluarga, kehadiranku di dalam hidup Atuk Abah, Atuk Mama, ayah,
dan ibuku amat menceriakan. Aku dipeluk, dibelai, dimanjakan seperti menatang minyak
yang penuh. Walaupun aku masih seorang bayi, ibuku membahagikan masa untuk bekerja
menjagaku dan belajar di peringkat sarjana di Universiti Putra Malaysia.
Semasa ibu bekerja, aku dijaga dan diasuh oleh Atuk
Mama. Pada hujung minggu, semasa ibuku pergi ke UPM, ayahlah yang menjagaku. Dari
gambar-gambar yang tersimpan di dalam album, jelaslah betapa bertuahnya diriku
yang sentiasa tersenyum gembira di dalam pelukan ayah dan ibuku. Ibu memberitahu
semenjak bayi, ayah sentiasa bermain-main denganku. Ayah membuat simulasi minda
dengan menunjukkan warna-warna merah, putih dan hitam untuk merangsang mindaku semenjak
kecil.
Atuk Mama mengalunkan ayat-ayat lazim dan qasidah
semasa menidurkanku. Perkataan pertama yang keluar dari mulutku adalah ‘bird’. Semasa aku masih bayi, ayah
telah membeli burung mainan (censored bird). Setiap kali aku menepuk tangan atau
mengoncang sangkar burung itu, burung itu akan berkicau. Oleh kerana aku dibesarkan
dengan menggunakan bahasa Inggeris, sepupu-sepupuku suka mengajukku. “What is your name?” Aku menjawab, “Bird”. “How old are you?” Aku menjawab, “Be-bird”. Mereka selalu mengusikku. Daripada rakaman video semasa aku
bayi, jika ditonton semula membuatkan aku ketawa sendirian.
Atuk Mama memberitahuku semasa aku mula belajar makan,
aku hanya makan bijirin (cereal) seperti
Nestum, Gerber dan Lays. Jika aku diberi makanan berkaitan nasi atau bubur, aku
akan muntah. Jika dibawa berjalan atau bersiar-siar, ibu selalu memberikan pisang
kepadaku. Aku suka pisang semasa kecil dan kuih-kuih yang lembut seperti kuih
lapis, apam dan talam. Setiap kali pulang dari kerja atau kerja luar (outstation), Atuk Abah membawa balik pelbagai
jenis pisang dan kuih-muih.
Aku mula belajar senyum semasa umurku empat-belas
hari. Aku meniarap pada umur empat bulan, menyelar pada umur enam bulan,
merangkak pada umur lapan bulan tetapi aku berjalan pada umur satu tahun dua
bulan. Ketika aku berumur satu tahun, ayahku memberitahu aku telah mengenal
angka dan suka membaca plat kereta dan perkataan-perkataan di stesen petrol. Apa
saja nombor kereta aku akan menyebutnya.
Aku mula membaca pada umur lapan-belas bulan dan membaca dengan lancar
pada umur dua tahun. Dari gambar-gambar sambutan hari jadiku yang kedua tahun,
saudara-mara memberiku hadiah, buku-buku dan mainan seperti Lego, Word Puzzle
dan sebagainya.
Aku mula dihantar ke sekolah secara tidak formal
semasa berumur satu tahun setengah. Nama sekolahnya The Tumbletots and Letterland di Subang Parade, Subang Jaya iaitu
seminggu sekali selama satu jam setengah. Aku amat gembira belajar fonik,
menyanyi, membaca, melukis dan bermain secara gimnastik. Ayahku terpaksa
memberhentikan aku bersekolah di sekolah tersebut kerana guru yang mengajar
selalu menghalangku untuk menjawab soalan kerana aku suka menanya dan menjawab
menyebabkan kanak-kanak lain tidak mendapat peluang. Aku tertekan dan tak mahu
ke sekolah. Aku duduk di rumah menonton televisyen dan program yang kugemari
adalah Teletubbies, Hi-5, Dora the Explorer, Mr Bean, Handy Manny dan beberapa
lagi yang tidak kuingati.
Pada suatu hari, ketika aku berumur dua tahun
setengah, ayah telah membawa pulang sebuah komputer riba berjenama Dell. Aku
amat tertarik dan sentiasa duduk di sisi ayahku apabila ayahku membuat
kerja-kerja pejabatnya di rumah dan melayari Internet. Pada suatu hari, ayah
tertinggal komputer riba di rumah. Aku amat gembira dan mula membuat eksplorasi
ke atas komputer itu. Banyak yangku godam sehingga beberapa program hilang dan
terpadam dari komputer. Semenjak itu, ayah memberikan komputer tersebut
kepadaku. Hari-hariku dihabiskan dengan menonton DVD, Astro, komputer dan
bermain Lego. Pada umur tiga tahun, aku telah mempunyai blog aku sendiri.
Website blog aku http://zoeyzeffrey.blogspot.com. Aku mula menulis dan
melayari Internet. Apa saja terlintas di fikiranku akan kucari di laman web.
Pada ketika itu, tiada lagi smartphone, tablet dan Facebook.
Pada umur tiga tahun setengah, aku dihadiahkan
dengan koleksi ensiklopedia jenama Grolier. Wah! Aku menghabiskan masa dengan
membaca di waktu pagi, petang dan malam. Banyak yang menarik. Subjek yang
pertama aku tertarik adalah astronomi. Suatu hari, ketika sebaik saja ayahku
pulang aku menanyakan satu soalan yang masihku ingat hingga sekarang. “Gunung
apakah yang tertinggi di Sistem Suria?”…Hahah! Ayahku tidak dapat menjawab. Dia
berkata, “Ayah hanya tahu gunung yang tertinggi di dunia iaitu Gunung Everest
di Banjaran Himalayas”. Aku menjawab, “Gunung Olympus Mons di Marikh.”.
Esoknya, aku menanyakan soalan lagi kepada ayah. “Apakah nama bulan yang
terdapat di planet Marikh?” Ayahku masih tidak dapat menjawab. Aku membalas,
“Phobos dengan Deimos lah, Daddy.” Banyak lagi ku beritahu kepada ayahku
tentang teori ‘the Big Bang’, Cupert Belt, nama-nama bulan di planet Jupiter
dan Neptune dan apa saja tentang cakrawala.
Aku banyak menulis dan menyalin dan menampal
(copy and paste) bahan-bahan tentang astronomi di blog aku. Semasa aku berumur
tiga tahun setengah, Pak Ngah yang kusayangi menjalani pembedahan pintasan
jantung (heart bypass) di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). Hari-hari
aku pergi ke hospital. Aku mula tertarik dengan gambar-gambar anatomi dan saraf
yang tertampal di dinding-dinding wad. Aku mula membaca dan membuat eksplorasi
sendiri dari internet. Aku juga tertarik dengan seorang doktor bernama
Professor Datuk Jeffrey iaitu pakar bedah ‘cardio torasic’ yang merawat Pak
Ngah. Itulah titik permulaan aku bercita-cita untuk menjadi pakar bedah ‘cardio
torasic’ yang terhandal di dunia. Dialah idola ku. Aku juga berminat membuat
eksplorasi pakar-pakar bedah ‘cardio torasic’ terbaik di Malaysia seperti
Professor Muhammad Ezani Taib, iaitu Ketua Jabatan ‘cardio torasic’ Institut
Jantung Negara dan Professor Datuk Abdul Rahman dari Pusat Perubatan Universiti
Kebangsaan Malaysia.
Semasa umurku empat tahun setengah, aku berminat
untuk bermain muzik. Ayahku telah menghantarku ke sebuah sekolah muzik bernama
The Little Mozarts di One Utama, Bandar Utama. Aku menamatkan kursus tahap awal
dalam masa enam bulan. Sepatutnya, aku perlu mengambil dua tahun untuk
menghabiskan kursus tersebut. Aku amat berminat dengan pemuzik tersohor klasik
seperti Mozart, Beethoven, Leez dan Dovorak. Setiap kali ke kedai muzik, aku
akan membeli cakra padat (compact disc) muzik-muzik klasik yang dimainkan oleh
pemuzik-pemuzik yang hebat.
Aku memuat turun lagu-lagu pencipta tersebut ke
iPod yang dihadiahkan oleh ayahku semasa hari jadi kelima. Seterusnya, aku
menyambung pendidikan muzik di Yamaha, Bukit Jelutong di bawah guru Ms Jean.
Apabila aku berpindah ke Ampang, aku menyambung pelajaran muzik peralatan piano
di Yamaha, Ampang Point di bawah tunjuk ajar Ms Alicia. Aku berjaya lulus
peperiksaan Gred 1 Piano ABRSM ketika berumur lima tahun. Aku teringat semasa
aku mengambil ujian praktikal piano di Hotel Grand Blue Wave, Shah Alam,
pemeriksa dari Royal Music of England terpaksa mencari kusyen tambahan untuk
membolehkan aku bermain dengan selesa kerana aku terlalu kecil.
Aku belajar berenang semasa berumur enam tahun di
SuperSharkz Swimming School bertempat di Kompleks Akuatik, Shah Alam. Aku
teringat bagaimana takutnya untuk terjun ke kolam renang. Aku teringat
peristiwa di mana instructor renang telah menyuruh kawan yang lain menolakku ke
dalam kolam. Aku menangis ketakutan. Semenjak hari itu, aku dapat mengatasi
perasaan takut dan maju dalam renangan. Aku berterima kasih kepada abang
Neezam, abang Shahrul dan Kak Ika yang banyak membantu sehingga aku tamat semua
jenis renangan pada umur enam tahun.
Aku belajar secara formal, iaitu Darjah Satu,
pada umur lima tahun, di Sayfol International School. Bila mengenang hari
pertama bersekolah, ibu membekalkan lampin salin buang (disposal diapers) di
dalam beg sekolah. Sebenarnya, aku hanya belajar ke tandas tanpa lampin salin
buang habis hanya tiga bulan sebelum aku masuk sekolah. Aku pernah terbuang air
besar di dalam seluar pada hari yang keempat persekolahan. Sebenarnya, aku
tercari-cari ibu di tempat menunggu untuk membantuku ke tandas tetapi ibu
tiada. Pernah suatu masa aku meminta bantuan pencuci tandas untuk mencuciku.
Oh, sungguh memalukan! Apa nak buat…aku tidak pernah ke tadika, terus saja ke
Darjah Satu pada umur lima tahun. Pernah suatu ketika guru kelas terpaksa mencariku
yang tidak pulang dari tandas kerana aku tertarik dengan bendera yang berkibar
di tiang bendera di tepi padang sekolah. Aku tertarik dengan bendera yang
berkibar megah dan aku cuba menarik-narik tali bendera yang diikat seolah-olah
bermain layang-layang. Wah, lucu sekali zaman kanak-kanak pada awal
persekolahan!
Aku teringat guru yang mengajar ku semasa Darjah
Satu, iaitu Miss Sherlie, dan guru-guru
yang lain seperti Miss Gloria, Miss Sathi, Miss Sabai, Miss Chandra, Miss
Halimah, dan guru-guru yang lain. Belajar di Sayfol International School amat
menggembirakan. Aku mempunyai kawan dari seluruh dunia seperti Johnson dari
Turki, Ellie dari England, Kasra dari Iran, Henry dari Filipina, Hyun Bin dari
Korea dan Ahmet Akif dari Singapura. Aku menganggotai pasukan koir dan pernah
menjalani latihan di Petronas Philharmonic Orchestra Junior Assemble. Aku juga
banyak memenangi anugerah bagi pencapaian dalam pelajaran. Di Sayfol
International School, aku mengikuti silabus IGSCE dan mengikut kalendar British.
Sukar untukku memasuki Perkhemahan Musim Panas di Pusat Permata Pintar
disebabkan perbezaan cuti sekolah.
Aku teringin untuk mengikuti Perkhemahan Musim
Panas di Pusat Permata Pintar, Universiti Kebangsaan Malaysia. Aku telah
membuat kajian dan membaca tentang Program Johns Hopkins University di laman
web. Maka, ayah dan ibu telah memindahkanku ke Sekolah Rendah Stella Maris,
Ampang pada tahun 2011. Sekolah Rendah Stella Maris adalah sebuah sekolah
swasta yang menggunakan silabus Kementerian Pendidikan Malaysia dan silabus
Singapura.
Pada peringkat awalnya, aku amat tertekan kerana terpaksa belajar
beberapa subjek dalam bahasa Melayu. Aku
tidak fasih berbahasa Melayu dan amat lemah menulis dalam bahasa Melayu. Di
rumah, aku bertutur dan menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya. Aku bernasib
baik kerana semua kawan bercakap dalam Bahasa Inggeris. Setidak-tidaknya, aku
tidak rasa terasing dan secara perlahan-lahan, aku mula mempunyai kawan orang
Malaysia tetapi kebanyakannya berbangsa Cina. Aku diajar oleh mahaguru yang
hebat seperti Mr Teh yang berumur 68 tahun yang telah mengajar Matematik lebih
daripada 45 tahun yang mempunyai pengalaman mengajar di sekolah kerajaan,
antarabangsa dan swasta. Seorang lagi guru yang amat hebat, iaitu Mr Francis
berumur 78 tahun yang menyambut jubli berlian iaitu 60 tahun mengajar subjek
Matematik. Kedua-dua guru ini, memberi ruang kepadaku untuk memahami Matematik
sehinggalah sekarang, aku telah menamatkan silabus Matematik Tambahan Tingkatan
Empat dan Lima pada tahun lepas.
Aku juga ingin merakamkan setinggi-tinggi
penghargaan kepada Puan Ash Rina dan Puan Effa Hasfadiah yang
bersungguh-sungguh dan bertungkus-lumus membantuku dalam subjek Bahasa Malaysia
sehingga aku boleh bertutur dalam bahasa Melayu yang boleh difahami oleh kawan-kawan
di Permata Pintar. Aku terkenang satu jenaka semasa aku kecil apabila seorang
sepupuku terbatuk dan dia menanyakan soalan dalam bahasa Melayu. “Zoey, tahu
tak apa itu batuk dalam bahasa Melayu?” Aku dengan pantas menjawab, “I know. Batuk is grandfather”. Semua
orang ketawa. Aku ingatkan batuk sama perkataan dengan awalan panggilan Atuk
Abah. Apabila pulang ke kampung rumah moyangku iaitu kampong sebelah Atuk Abah
dan Atuk Mama di Utara Malaysia. Aku agak sukar untuk memahami Bahasa Melayu
slanga Kedah. Kadang-kala aku buat-buat
faham dan mengunakan bahasa tubuh berkomunikasi dengan kawan-kawan di kampung.
Bila kawan-kawan ketawa, aku buat-buat ketawa.
Setidak-tidaknya tak terasa terasing bila balik utara.
Aku bertekad untuk lulus dan berjaya ke Permata
Pintar – Perkhemahan Musim Panas.
Percubaan aku yang pertama pada tahun 2012 berjaya. Aku diterima masuk ke kursus Penaakulan
Mantik dan ditempatkan di PM10-3.
Pertama kali aku berjauhan dengan keluarga. Sebenarnya secara fizikal bukannya terpisah
jauh, rumahku di Ampang manakala Permata Pintar di Bangi hanya 30 minit
perjalanan sahaja. Tiga hari pertama aku merasa sukar untuk menyesuaikan diri. Tiada ibubapa, makanan tidak mengikut cita
rasa malah jauh daripada keluarga dan kebanyakkan bercakap dalam Bahasa Melayu
dan apabila mandi terpaksa beratur dan tiada air panas. Masuk minggu kedua, aku
telah merasa keseronakkan. Terima kasih
kepada Izzudin dan Hakim yang menjadi kawan rapat sehingga sekarang dan tidak
ketinggalan Cikgu Shamim dan Abang Nasrol.
Sedih rasa apabila berpisah dengan rakan-rakan. Nasib baik ada Facebook dan teknologi yang
menghubungkan aku dan rakan-rakan.
Pada tahun 2013 aku berjaya lagi diterima masuk
ke Program Perkhemahaan Musim Panas Permata Pintar. Pada kali ini, aku diterima masuk ke kursus
Rekacipta. Aku agak terperanjat kerana
ramai kawan-kawanku pada tahun lepas tidak berjaya. Nasib baik Hakim, Amrin dan Izzudin dapat
kursus yang sama. Aku tak terasa janggal
dan sedih pada kali kedua. Pengalaman tahun lepas amat membantuku. Aku mendapat
rakan-rakan baru seperti Nabil, Rawi, Idham, Amirudin dan Kamal. Pada kali ini, aku amat gembira dan seronok.
Kebanyakan kawan-kawan lebih tua daripada aku. Mereka lebih cekap menggunakan
teknologi seperti Rawi amat bagus dalam bidang komputer. Banyak ilmu baru yang
kupelajari daripadanya. Malah aku mengenali lebih rapat keluarga rakan-rakanku.
Selepas kursus, aku masih berhubung dan medium utama adalah Facebook. Aku ke
rumah Hakim di Tangkak, Johor untuk mengeratkan siratulrahim. Aku bertekad
untuk lulus UKM3 untuk masuk ke Program Pendidikan Permata Pintar. Pada 26
Disember 2013, adalah tarikh yang keramat bagiku. Aku mendapat keputusan
berjaya masuk ke Program ASAS 1 atau lebih dikenali sebagai Foundation 1.
Sebaik saja mendapat keputusan, aku membuat sujud
syukur. Alhamdulilah, permintaanku dimakbulkan oleh Allah s.w.t. Aku terus
menghubungi rakan-rakan dan berasa gembira kerana Kamal, Rawi, Nabil, Hakim,
Amrin, Izzudin dan Idham juga berjaya. Walau bagaimanapun, aku juga sedih
kerana Amrin dan Idham menolak tawaran. Apabila mengetahui alasan
masing-masing, aku menerima kenyataan mereka.
Dua-puluh Januari 2014, hari pendaftaran ke
Program Pendidikan Permata Pintar. Aku amat teruja, malah setiap hari aku
memasuki Facebook Alumni Permata Pintar dan Pendidikan Permata Pintar untuk
mendapat maklumat dan membuat persediaan secukupnya. Pada hari pendaftaran, aku
terus mencari rakan-rakan. Gembira hatiku apabila melihat mereka. Aku
ditempatkan di blok D bilik 17. Bilikku selang sebuah dengan bilik Kamal dan
satu tingkat dengan Nabil dan Hakim.
Aku bertekad untuk terus maju dan berlari dan
jika boleh terbang menggapai cita-citaku. Aku berjanji untuk berusaha sehingga
tahap maksima bagi mendapat tempat dan diterima masuk sebagai pelajar perubatan
di University Cambridge, England. Perjalananku bukan tamat di sini,
perjalananku masih jauh lagi. Setiap nadi yang berdenyut, setiap nafas aku
hembus, aku akan berusaha.
1 comment:
u will enter Cambridge my bro Zoey! insya-Allah amin.... moga menjadi khalifah yang mempunyai iman yang kukuh! :) - Nur Maisarah Hashim.. (Y)
Post a Comment